
Pelantikan Pengurusan Tertinggi Agensi Nuklear Malaysia Yang Baharu
BANGI, 2 SEPTEMBER 2025 – YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin telah dilantik sebagai Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia (memangku Pegawai Penyelidik, Gred Utama A) berkuat kuasa mulai 2 September 2025 menggantikan YBrs. Dr. Rosli bin Darmawan yang telah bersara wajib pada 3 Julai 2025.
Sebelum ini, beliau menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi), Timbalan Ketua Pengarah (Program Perkhidmatan Teknikal), Pengarah Kanan Pengurusan dan Pengarah Bahagian Pemprosesan Sinaran Agensi Nuklear Malaysia. Pelantikan YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin adalah berdasarkan kepada kelayakan, pengalaman luas dan kepakaran beliau dalam bidang penyelidikan teknologi nuklear.

Nuklear Malaysia yakin kepimpinan baharu ini akan memperkukuh hala tuju Agensi Nuklear Malaysia dalam menerajui pembangunan dan penyelidikan nuklear negara berdasarkan Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030. Beliau memperoleh Ijazah Pertama Sains Gunaan dalam bidang Fizik Gunaan daripada Universiti Sains Malaysia, Ijazah Sarjana daripada Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang Kejuruteraan Bahan dan Mekanik (Finite Element Method) dan seterusnya Ijazah Kedoktoran Falsafah dalam bidang fizik (Strain Induced Crystallization) dari Keele University, England. Eksperimen kedoktoran falsafah beliau dilakukan di Institut Laue Langenvin (ILL) dan European Synchrotron Research Facility (ESRF), Grenoble, France.
YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin berpengalaman dalam teknologi radioisotop terkedap dalam industri, pemodelan finite element bagi mekanik bahan dan beliau pernah memegang tanggungjawab sebagai ketua seksyen dan pengurus reaktor TRIGA PUSPATI selama lima tahun. Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat sebagai ahli Pasukan Penasihat Keselamatan Reaktor Penyelidikan Nuklear di rantau Asia Pasifik. Fokus penyelidikan beliau meliputi pengimejan neutron radiografi dan tomografi di reaktor TRIGA PUSPATI. Beliau juga berpeluang melakukan eksperimen pengimejan neutron di reaktor penyelidikan JRR3-M di Jepun, Siwabessy di Indonesia dan OPAL di Australia.

Dalam masa yang sama, YBrs. Ts. Dr. Ishak bin Mansor turut dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Program Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi), memangku Pegawai Penyelidik Gred Utama B berkuat kuasa mulai 2 September 2025 menggantikan YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin. Beliau mendapat pendidikan Ijazah Pertama dalam bidang Elektrikal dan Elektronik dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1989, Ijazah Sarjana dalam bidang Power Electronic dari Bradford University, United Kingdom dan seterusnya mendapat Ijazah Kedoktoran dalam bidang Sains Bahan juga daripada Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau sebelum ini memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Program Perkhidmatan Teknikal) dan berpengalaman luas dalam projek berimpak tinggi termasuk instrumen nuklear, pembangunan teknologi pemproses semikonduktor bagi penyelidikan sensor, tenaga dan pengesan radiasi.
Dengan pelantikan kepimpinan baharu ini, Agensi Nuklear Malaysia yakin agensi akan terus melakar kecemerlangan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan teknologi nuklear secara cekap dan berkesan serta seiring dengan aspirasi negara. Seluruh warga kerja Agensi Nuklear Malaysia mengucapkan sekalung tahniah di atas pelantikan tersebut.
The post Pelantikan Pengurusan Tertinggi Agensi Nuklear Malaysia Yang Baharu appeared first on Siakap Keli.




