Pos Malaysia jangka impak minimum daripada tarif baharu AS

LocalBusiness & Finance
3 Sep 2025 • 3:22 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pos Malaysia jangka impak minimum daripada tarif baharu AS

image is not available

03/09/2025 - 15:22

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Sept – Pos Malaysia Bhd menjangkakan kesan yang minimum daripada perubahan tarif terbaharu yang dilaksanakan Amerika Syarikat (AS) memandangkan jumlah penghantaran syarikat itu ke negara tersebut adalah sederhana berbanding pemain logistik global lain.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Charles Brewer berkata, meskipun perubahan dasar tersebut menggegarkan perdagangan antarabangsa, impak terbesar sebenarnya lebih dirasai syarikat logistik lain yang mempunyai trafik penghantaran lebih tinggi ke AS.

“Dari segi runcit, iaitu apabila orang ramai datang ke pejabat pos untuk menghantar surat atau bungkusan, jumlah penghantaran kami ke AS tidaklah besar.

“Namun begitu, ia masih kekal pada tahap yang munasabah,” katanya pada sidang media selepas melancarkan aset van elektrik baharu Pos Malaysia hari ini.

Namun, beliau mengakui terdapat segelintir pelanggan yang kurang berpuas hati dengan perubahan itu dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, keadaan tersebut berada di luar kawalan Pos Malaysia kerana ia melibatkan keputusan dasar kerajaan AS.

Pada 25 Ogos lalu, Pos Malaysia mengumumkan penggantungan sementara perkhidmatan Mel Udara Antarabangsa dan Mel Pukal Udara ke AS.

image is not available

Tindakan itu diambil selepas syarikat penerbangan yang membawa surat dan bungkusan menghentikan operasi akibat kebimbangan kapasiti serta lambakan penghantaran.

Langkah tersebut berkait rapat dengan perintah eksekutif baharu AS yang membatalkan pengecualian de minimis, iaitu kemudahan yang sebelum ini membolehkan barangan bernilai di bawah AS$800 (kira-kira RM3,380) memasuki negara itu tanpa dikenakan cukai.

Tambahnya, penggantungan itu hanya berlangsung selama kira-kira dua hari sahaja dan dalam tempoh berkenaan, Pos Malaysia telah berjaya mewujudkan beberapa penyelesaian komersial bagi memastikan kelancaran penghantaran pelanggan ke pasaran AS.

“Antara alternatif yang ditawarkan ialah perkhidmatan Readly Express, satu pilihan komersial yang membolehkan pelanggan terus menghantar barangan ke pembeli di AS tanpa gangguan besar.

“Kepada pelanggan yang menghubungi kami untuk urusan penghantaran ke AS, kami sudah mempunyai penyelesaian yang baik. Jadi, sebarang kesan daripada perubahan ini hanyalah bersifat jangka pendek,” katanya.

Pos Malaysia yakin penyesuaian pantas melalui penawaran alternatif penghantaran akan memastikan pelanggan terus menikmati perkhidmatan yang kompetitif, meskipun berdepan cabaran dasar antarabangsa yang berada di luar kawalan syarikat.

Langkah syarikat ini dilihat sebagai usaha proaktif untuk mengekalkan kepercayaan pengguna, selain memastikan operasi penghantaran antarabangsa kekal stabil dan berdaya saing dalam menghadapi landskap perdagangan global yang sentiasa berubah.- DagangNews.com

standard