Pelarasan subsidi RON95 pilihan terakhir kerajaan - Penasihat Ekonomi PMO

LocalBusiness & Finance
29 May 2026 • 5:57 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pelarasan subsidi RON95 pilihan terakhir kerajaan - Penasihat Ekonomi PMO
Nurhisham dalam program audio siar 'Keluar Sekejap'.

SHAH ALAM - Sebarang langkah untuk melaksanakan pelarasan subsidi petrol RON95 akan menjadi pilihan terakhir kerajaan ekoran kesan langsung terhadap perbelanjaan isi rumah.

Penasihat Ekonomi Pejabat Perdana Menteri, Nurhisham Hussein berkata, ketika ini kerajaan mempunyai beberapa pilihan dasar dan akan bertindak secara berhati-hati memandangkan sensitiviti harga bahan api serta tekanan kos sara hidup yang lebih luas.

"Petrol saya rasa memang satu isu yang sangat sensitif dan ada impak terus kepada poket rakyat.

"Kalau ada penyelarasan subsidi petrol, ia akan 'push it back later' (tangguhkan dahulu)," katanya dalam program audio siar Keluar Sekejap yang dikendalikan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan.

Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata, kerajaan sedang meneliti cadangan untuk menyemak semula pemberian subsidi minyak RON95 bagi golongan berpendapatan tinggi, berlatarkan situasi bekalan tenaga global.

Dalam pada itu Nurhisham menjelaskan, kerajaan kini sedang memberi tumpuan kepada langkah penjimatan lain seperti memperketatkan kuota Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi sektor logistik.

"Masa kita mulakan SKDS dahulu, kita bagi terlalu banyak. Jadi sekarang kita sebenarnya memperketatkannya dan ada penjimatan di situ, lebih kepada had pengoperasian berdasarkan data yang ada untuk tempoh dua tahun," ujarnya.

Sementara itu, mengulas mengenai kekurangan bekalan bahan api susulan ketidaktentuan minyak global akibat konflik di laluan perkapalan Selat Hormuz, beliau berkata, kerajaan sebelum ini sudah mengurangkan kuota bahan api bersubsidi daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan.

Namun jelasnya, bekalan minyak mentah dan produk bahan api negara mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Julai depan ekoran kelebihan strategik Malaysia yang mempunyai Petronas dan kilang penapis sendiri.