Pelarasan tarif dilakukan secara berhemah dan kekal kompetitif bantu golongan sasar - Exco Terengganu

LocalPolitics
4 Aug 2025 • 10:08 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pelarasan tarif dilakukan secara berhemah dan kekal kompetitif bantu golongan sasar - Exco Terengganu

image is not available

04/08/2025 - 10:08

Gambar/Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA TERENGGANU 4 Ogos – Kerajaan Negeri Terengganu terus mengekalkan kadar tarif air yang kompetitif dan berpatutan walaupun pelarasan tarif telah dilaksanakan berkuat kuasa 1 Julai 2025, selaras dengan kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata, kadar purata tarif domestik di Terengganu ditetapkan pada RM1.10 bagi penggunaan 35 meter padu pertama, iaitu masih di bawah purata kebangsaan sebanyak RM1.12.

"Bagi kategori bukan domestik, purata tarif bagi penggunaan 100 meter padu pertama ialah RM2.24, manakala 300 meter padu pertama ialah RM2.25.

"Kadar ini jauh lebih rendah berbanding beberapa negeri lain seperti Johor dan Selangor yang mencatatkan tarif lebih tinggi bagi penggunaan yang sama.

“Pelarasan ini dibuat secara berhemah dan bersasar, mengambil kira keperluan semasa untuk menampung kos operasi dan penyelenggaraan, selain memastikan perkhidmatan bekalan air terus mampan dan berkualiti tinggi,” katanya ketika dihubungi DagangNews.com hari ini.

image is not available
Hanafiah Mat

Menurut Hanafiah, kerajaan negeri turut memberi perhatian khusus kepada kebajikan pengguna berpendapatan rendah serta keperluan institusi seperti masjid dan surau agar tidak terjejas dengan perubahan kadar tarif tersebut.

“Fungsi sosial dan ibadah di masjid serta keperluan asas isi rumah tidak akan terbeban. Sebab itu kadar sedia ada masih dalam lingkungan mampu milik, tanpa menjejaskan aspek kecekapan operasi dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Sejak tahun 2019, seramai 13,715 akaun pengguna layak telah menerima manfaat air percuma sebanyak 20 meter padu setiap bulan, melibatkan kos keseluruhan kira-kira RM2.5 juta setahun yang ditanggung oleh kerajaan negeri.

Dalam masa yang sama, sebanyak 1,883 akaun masjid dan surau turut menerima pengecualian bayaran air, membabitkan anggaran kos sebanyak RM1.5 juta setahun sebagai sebahagian daripada komitmen sosial negeri dalam menyokong institusi keagamaan dan komuniti.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pelarasan tarif ini juga dilaksanakan berdasarkan garis panduan dan kelulusan SPAN serta selaras dengan penstrukturan industri air negara yang memberi penekanan kepada aspek kelestarian sumber, kecekapan pengurusan dan kualiti perkhidmatan.

"Peningkatan kos rawatan air, keperluan untuk menaik taraf sistem pengagihan serta pembinaan loji rawatan baharu adalah antara faktor utama yang mendorong keperluan pelarasan.

“Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd perlu melaksanakan pelaburan besar untuk membina loji baharu, mengganti paip usang dan meningkatkan kapasiti agihan, agar rakyat Terengganu terus menerima bekalan air bersih, tekanan yang stabil dan mencukupi sepanjang masa,” katanya.

Antara projek utama yang sedang dan akan dilaksanakan termasuk pembinaan loji rawatan baharu di beberapa daerah, pembaikan sistem agihan utama, serta projek pengurangan kadar air tidak berhasil (NRW) yang kini menjadi keutamaan nasional.

Hanafiah turut menegaskan kerajaan negeri akan terus memantau kesan pelaksanaan tarif baharu ini dan akan mempertimbangkan bentuk bantuan atau mekanisme subsidi bersasar jika diperlukan, terutama bagi golongan rentan.

“Matlamat utama ialah memastikan rakyat mendapat bekalan air yang bersih, berkualiti dan berterusan tanpa membebankan mana-mana pihak, dalam masa yang sama memastikan sistem air kita terus cekap dan mampan untuk jangka panjang,” katanya.- DagangNews.com

standard