
Kota Kinabalu: Seorang pelayan restoran dipenjara enam bulan dan didenda RM1,000 atau penjara 14 hari jika gagal membayar denda, kerana cuba menipu seorang lelaki berkaitan penjualan sebentuk cincin yang didakwa emas, bulan lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan menjatuhkan hukuman terhadap Binah Warajid, 45, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.
Binah cuba memperdayakan lelaki itu dengan membuatnya percaya bahawa dia mahu menjual cincin emas berkenaan di sebuah kedai emas di sebuah pusat beli-belah pada 4 Ogos tahun ini.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda manakala Seksyen 511 memperuntukkan hukuman tidak melebihi separuh daripada hukuman yang diperuntukkan di bawah Seksyen 420.
Mahkamah diberitahu Binah pergi ke premis berkenaan untuk menjual cincin yang didakwa emas itu namun selepas ketulenannya diperiksa, didapati cincin tersebut adalah emas palsu.
Pemeriksaan lanjut menerusi kumpulan WhatsApp kedai berkenaan mendapati Binah pernah tular pada Jun lalu kerana cuba melakukan modus operandi sama di dua kedai emas di Keningau dan kawasan bandar.
Dia sebelum ini telah diberi amaran supaya tidak mengulangi kesalahan sama.
Bagaimanapun bagi kejadian kali ini, satu laporan polis dibuat terhadapnya untuk tindakan lanjut.
Mahkamah memerintahkan Binah yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman penjara untuk proses dihantar pulang.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Shafeerah Mad Iskim mengendalikan pendakwaan manakala Binah tidak diwakili peguam.






