Pelbagai sumbangan TYT untuk komuniti Tawau

20 Mar 2025 • 2:01 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Lagatah Toyos

TAWAU: Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun (Dr) Musa Aman menyampaikan pelbagai sumbangan pada Majlis Berbuka Puasa bersama beliau di Masjid Al-Khautar di sini, pada Selasa.

Antara sumbangan yang disampaikan termasuk RM1 juta kepada Hub Pemulihan Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya Sri Stella daripada Pejabat Parlimen Tawau, serta RM500,000 dalam bentuk peralatan kesihatan daripada Parlimen Tawau dan Kerajaan Negeri.

Selain itu, dua buah van jenazah turut disumbangkan kepada Masjid Sri Ranggu dan Masjid Al-Ansar bagi kemudahan masyarakat setempat, dana penerima bantuan bulanan zakat Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) kepada asnaf fakir Bahagian Tawau 2025 sebanyak RM9,424,200 dan sumbangan RM10,000 kepada Masjid Al-Kauthar.

Turut menerima sumbangan kewangan pada majlis itu ialah 33 madrasah di sekitar Lahad Datu, Kunak, Semporna, dan Tawau melalui peruntukkan Baitulmal Negeri Sabah.

Sementara itu, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kehadiran pertama Tun Musa ke daerah ini dalam lawatan rasminya selepas dilantik sebagai TYT Sabah menerima sambutan amat baik dan positif dengan kehadiran hampir 5,000 rakyat pelbagai latar belakang.

Beliau yang juga Pengerusi Induk Majlis Berbuka Puasa Bersama Yang Di-Pertua Negeri Sabah di Tawau turut berkata, perkara itu menunjukkan TYT adalah lambang perpaduan dan keharmonian hidup rakyat di negeri ini yang berbilang kaum dan agama.

“Sudah pasti kehadiran Tun ke Tawau menjadi suntikan semangat kepada para pemimpin daerah ini dan para penjawat awam negeri dan persekutuan untuk terus berusaha memajukan lagi Tawau,” katanya.

Usai penyampaian sumbangan dan berbuka puasa, Tun Musa menyertai jemaah menunaikan solat Maghrib, diikuti solat Isyak dan solat Tarawih yang dipimpin Timbalan Pengarah Unit Hal Ehwal Islam Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains), Ustaz Awang Juri Awang Tahir.

Turut mengiringi Tun Musa ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Arifin Mohd Arif; Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy; Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara (KPN), Datuk Ruji Ubi; Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Sahibus Samahah Datuk Ustaz Bongsu Aziz Jaafar.

Hadir sama, Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui; Adun Balung, Datuk Hamild @ Hamid Awang; Adun Kukusan, Datuk Rina Jainal; Adun Sebatik, Datuk Hassan A Gahni Pg Amir dan Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Joseph Pang. ­