Pelbagai usaha penambahbaikan dilakukan oleh UKM termasuk tindakan undang-undang, kata Zambry

LocalPolitics
24 Jul 2025 • 5:16 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pelbagai usaha penambahbaikan dilakukan oleh UKM termasuk tindakan undang-undang, kata Zambry

image is not available

24/07/2025 - 17:16

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Julai - Pelbagai usaha penambahbaikan terus dilaksanakan ekoran siasatan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) berkaitan pengurusan perolehan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) termasuk mengambil tindakan undang-undang ke atas pegawai yang terlibat dengan sebarang kes salah laku.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, beberapa langkah telah diambil sejak 28 Fenruari lalu bagi memastikan ia selari dengan hala tuju pendidikan tinggi 2025 antaranya Unit Integriti diletakkan di bawah Lembaga Pengarah Universiti sebagai entiti berasingan agar lebih telus dan bebas.

Beliau berkata, langkah berikutnya, juga dianggotai oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pegawai Tadbir dan Diplomatik serta dan juruaudit.

Ketiganya, perjawatan Unit Integriti sekurang-kurangnya tujuh orang berdasarkan model berisiko rendah, garis panduan pengurusan integriti agensi awam oleh SPRM dan ketua unit itu hendaklah sekurang-kurangnya gred 12 bersamaan gred 48.

"Terdapat garis panduan perolehan UKM yang telah dikemaskini dengan segera. Apa yang berlaku hasil daripada siasatan yang dilakukan oleh pihak audit, dan juga diarahkan juga pihak jawatankuasa audit dalaman membuat penyelidikan susulan.

"Kami dapati, pekeliling-pekeling tidak dikemaskini, bukan tidak dipatuhi. Sebagai contoh UKM sebelum ini masih merujuk Pekeliling Perolehan Perbendaharaan 2.0, sedangkan ia telah dikemaskini kepada versi 2.2 manakala Jawatankuasa Perolehan Tender, wakil Jabatan Kerja Raya juga telah dilantik sebagai sebagai wakil teknikal dan Jawatankuasa Pratender dan Jawatankuasa Penyelarasan telah dibubarkan.

"Sekiranya terdapat sebarang kes salah laku, tindakan mengikut aturan undang-undang akan diambil ke atas pegawai yang terlibat," katanya ketika menggulung perbahasan LKAN 2/2025 di Dewan Rakyat.

image is not available
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir

Terdahulu, UKM didapati meluluskan pelantikan tiga syarikat bagi projek bernilai RM66.64 juta tanpa mematuhi syor jawatankuasa penilai, sekali gus mencetuskan persoalan serius mengenai integriti tatakelola perolehannya.

Menurut LKAN 2/2025, Jawatankuasa Perolehan Tender universiti itu telah meluluskan tiga daripada tujuh tender kepada syarikat yang tidak disyorkan oleh Jawatankuasa Penilaian Teknikal, Kewangan dan Pra-Tender.

Antara projek yang dikritik adalah pembekalan, penghantaran, pemasangan dan pentauliahan sistem Linear Accelerator (LINAC) serta peralatan sokongan dan kerja ubah suai di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM).

Sementara itu, mengulas mengenai tindakan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) menganugerahkan kontrak katering bernilai RM25.64 juta bagi tempoh tiga tahun kepada sebuah syarikat yang tidak mempunyai sijil halal Jakim, Zambry berkata, ia berkaitan perkara teknikal yang tidak dapat diikuti bukan kerana syarikat itu tidak ada sijil halal.

Beliau berkata, apa yang berlaku ialah permohonan halal itu baru dibuat selepas syarikat mendapat tender dan permohonan untuk mendapatkan sijil halal itu bukan daripada syarikat tetapi daripada premis berkenaan.

"Sebagai contoh, apabila sesebuah syarikat itu mendapat tender itu, dan berjaya, dalam tempoh enam bulan selepas itu, mereka perlu untuk mendapatkan sijil halal.

"Proses itu yang sering kali menyebabkan kelewatan-kelewatan berlaku. Dalam hal ini, kita perlu pengambil maklum, ia perlu diselesaikan dalam tempoh waktu yang ditetapkan dalam setiap tender itu," katanya. - DagangNews.com

standard