Tawaran pengambilalihan syarikat Singapura, CosmoSteel oleh syarikat bersekutu AYS Ventures menjadi tanpa syarat

LocalBusiness & Finance
24 Jul 2025 • 3:41 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Tawaran pengambilalihan syarikat Singapura, CosmoSteel oleh syarikat bersekutu AYS Ventures menjadi tanpa syarat

image is not available

24/07/2025 - 15:41

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Julai - Tawaran pengambilalihan secara sukarela bagi semua saham CosmoSteel Holdings Ltd yang tersenarai di Singapura oleh syarikat bersekutu AYS Ventures Bhd, 3HA Capital Pte Ltd telah berubah menjadi tanpa syarat selepas pegangan saham mereka melepasi paras 80%.

Sehingga 23 Julai, 3HA Capital telah menerima hampir 229 juta saham yang bersamaan dengan 87.88% daripada modal saham yang diterbitkan CosmoSteel.

Tawaran pengambilalihan itu pada asalnya dilancarkan pada 15 Mei pada harga S$0.20 sesaham dan pada 23 Jun lalu, 3HA Capital menaikkan harga tawaran sebanyak 25% kepada S$0.25 sesaham.

Pemegang saham yang menerima tawaran awal, secara automatik menerima harga yang telah disemak semula.

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, AYS berkata, tarikh tutup tawaran tersebut telah dilanjutkan kepada pukul 5.30 petang pada 28 Julai ini berbanding tarikh akhir asal pada 14 Julai.

Katanya, sekiranya penerimaan sah mencapai 90% atau lebih, 3HA Capital berhak untuk memperoleh semua baki saham.

Anak syarikat milik penuh AYS, Ann Yak Siong (Singapore) Pte Ltd (AYS Singapore), memegang 14.9% kepentingan dalam 3HA Capital.

Pemegang saham lain termasuk HHH Group Pte Ltd (40.2%), Hanwa Singapore (Pte) Ltd (30%), dan Thor Capital Pte Ltd (14.9%).

AYS Singapore telah melabur sebanyak S$298,000 (kira-kira RM1 juta) dalam 3HA Capital.

3HA Capital berkata, mereka tidak berhasrat untuk menyemak semula harga tawaran akhir tersebut.

Dalam pengumuman terdahulu, AYS berkata, penglibatannya dalam urus niaga itu selari dengan strategi kumpulan untuk menjadi pengedar keluli serantau yang terkemuka dan mampan.

Pengambilalihan itu dijangka dapat mengembangkan jangkauan pasaran, mewujudkan sinergi operasi, serta meningkatkan penyampaian perkhidmatan dalam sektor kejuruteraan, tenaga dan pembinaan.- DagangNews.com

standard