Pelihara Kampung Sungai Penchala sebagai kampung warisan Melayu

LocalPolitics
17 Dec 2024 • 7:18 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Hannah (tengah) pada sesi libat urus bersama DBKL pada Sabtu lalu menekankan aspek pembangunan mampan dan pemeliharaan kampung Sungai Penchala sebagai kampung warisan Melayu.

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh konsisten memperjuangkan agar Kampung Sungai Penchala diiktiraf sebagai kampung warisan Melayu.

Justeru beliau menggesa nisbah plot bagi pembangunan Kampung Sungai Penchala dikekalkan dalam kategori R1, iaitu hanya membenarkan pembinaan bangunan tidak melebihi tiga tingkat.

Menurutnya, langkah itu bagi memastikan pembangunan tidak melampaui kapasiti infrastruktur sedia ada dan bagi memelihara identiti tradisional kampung.

"Kampung ini bukan sahaja unik dari segi seni bina tradisional dan budaya Melayu, tetapi juga menjadi simbol penting warisan komuniti Melayu di Kuala Lumpur.

"Sebagai antara salah satu kampung Melayu terakhir di ibu negara, usaha ini penting demi mengekalkan identiti dan legasi kampung yang semakin terancam oleh pembangunan yang tidak mampan," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Hannah berkata, beberapa isu telah dibangkitkan menerusi sesi libat urus bersama DBKL pada Sabtu lalu antaranya penduduk Kampung Sungai Penchala dan Kampung Palimbayan menyokong pembangunan mampan, memelihara alam semula jadi dan eko-pelancongan.

Katanya, penduduk tidak menyokong pembangunan berdensiti tinggi termasuk perumahan mampu milik berdensiti tinggi terutama di kawasan perkampungan.

"Kampung Palimbayan ditonjolkan menjadi Kampung Warisan Melayu, Kuala Lumpur dan cadangan pembangunan di kawasan ini perlu mengambil kira keperluan geoteknikal.

"Penduduk menyokong cadangan naik taraf jalan bagi pemberian akses kepada kesemua lot namun membantah sambungan jalan yang boleh mengakibatkan kesesakan," katanya.

Hannah berkata, sesi libat urus itu turut membangkitkan isu terdapat pelepasan saliran daripada pembangunan bersempadan mengakibatkan Sungai Penchala tercemar dan ada kala menyebabkan banjir.

Turut dibangkitkan isu berkaitan infrastruktur termasuk membaik pulih sistem saliran dan laluan sungai sedia ada, masalah tekanan air rendah serta tempat pembuangan sampah tidak sistematik.

"Saya menyeru DBKL mendengar suara penduduk Kampung Sungai Penchala dan memastikan kepentingan penduduk tempatan diutamakan.

"Kampung ini bukan sekadar kawasan kediaman, tetapi sebuah simbol warisan dan sejarah yang tidak ternilai.

"Usaha untuk mengekalkan status Kampung Warisan Melayu bukan hanya demi generasi sekarang, tetapi juga sebagai legasi untuk generasi akan datang," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved