MAKKAH– Tempoh tawaran menunaikan haji bagi musim ini kini berada di fasa akhir dengan kuota penuh 31,600 jemaah Malaysia hampir dilengkapkan, sekali gus membuka peluang terakhir kepada mereka yang masih menunggu untuk merebut tempat ke Tanah Suci.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun berkata, setakat ini seramai 514 jemaah dilaporkan menangguhkan tawaran saat akhir, sekaligus memberikan harapan kepada mereka yang berada dalam senarai menunggu untuk mengisi kekosongan ini bagi memastikan kuota yang ditetapkan dipenuhi sepenuhnya.
Menurutnya, tempoh tawaran kini hanya berbaki dua hingga tiga hari lagi sebelum ditutup sepenuhnya.
Dalam masa sama, beberapa kes penolakan turut direkodkan melibatkan jemaah yang tidak dapat meneruskan perjalanan ke Tanah Suci atas pelbagai faktor termasuk kematian, kemalangan serta masalah kesihatan.
“Terdapat juga kes tertentu seperti tempoh idah apabila berlaku kematian pasangan, menyebabkan mereka tidak dapat menunaikan haji seperti dirancang,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa faktor kesihatan menjadi antara penyumbang utama apabila terdapat jemaah yang dilaporkan rebah ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum dirujuk ke hospital di Malaysia untuk rawatan lanjut.
“Pelbagai sebab menyebabkan mereka tidak dapat menunaikan haji sama ada kematian, kemalangan ataupun kesihatan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata, usaha terus dilakukan untuk mengisi sebarang kekosongan dengan menawarkan tempat kepada jemaah yang masih menunggu, selagi sistem Nusuk di bawah kerajaan Arab Saudi masih dibuka.
“Kita cuba untuk gantikan dengan mereka yang masih menunggu. Biasanya tawaran dibuat dan mereka perlu menjalani pemeriksaan kesihatan secepat mungkin selepas menerima tawaran,” katanya.
Bagaimanapun, terdapat juga jemaah yang masih belum memberikan jawapan walaupun telah menjalani pemeriksaan kesihatan, selain ada yang tampil merayu untuk diberikan peluang menunaikan haji.
“Kita ada susunan keutamaan bagi mereka yang diberi perhatian untuk mengerjakan haji,” jelasnya.
Sementara itu, Unit Khidmat Pelanggan turut menerima enam laporan berkaitan kehilangan Kad Nusuk dalam kalangan jemaah, namun perkara berkenaan berada dalam kawalan.
Mohd Hisham tidak mengulas lanjut mengenai sebarang tambahan kuota haji, namun berharap lebih ramai rakyat Malaysia dapat dibantu untuk menunaikan ibadah tersebut tahun ini.





