
MELAKA: Cabaran peluang pekerjaan dan ekonomi anak muda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi berbeza dengan mereka yang tinggal di bandar besar memandangkan kawasan itu terdiri daripada komuniti nelayan, petani dan peniaga kecil.
Calon Pakatan Harapan (PH) kerusi DUN Kuala Linggi, Mohammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah berkata, golongan itu perlu diberikan lebih banyak peluang ekonomi supaya dapat membina kehidupan dan menyara keluarga tanpa perlu mencari rezeki jauh dari kampung halaman.
Beliau berkata, peluang pekerjaan yang baik dan pendapatan mencukupi merupakan antara keperluan terutama bagi mereka yang baharu memasuki alam pekerjaan atau sedang membina keluarga.
“Bagi anak muda yang baharu mula bekerja, persoalannya cukup mudah. Adakah peluang pekerjaan yang baik tersedia berhampiran tempat tinggal mereka?
“Adakah pendapatan yang diperoleh mencukupi untuk membina kehidupan dan menyara keluarga? Dan adakah mereka mempunyai peluang untuk terus membina masa depan di kampung halaman sendiri?” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mohammad Mukhlisul Mubin merupakan calon termuda berusia 24 tahun dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Menurut Mukhlisul, pembangunan Kuala Linggi perlu mengambil kira keperluan komuniti sedia ada, di samping membuka lebih banyak peluang ekonomi baharu kepada generasi muda.
Ujarnya, pembangunan kawasan juga perlu memberi perhatian kepada masalah dihadapi penduduk, khususnya mereka yang bergantung kepada hasil laut dan pertanian sebagai sumber pendapatan.
“Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah masalah mendapan yang menyebabkan kemudahan jeti nelayan tidak dapat digunakan sepenuhnya.
“Ada mungkin nampak seperti masalah biasa tetapi bagi bergantung kepada hasil laut dan pertanian, kemudahan tersebut mempunyai hubungan langsung dengan sumber pendapatan dan kehidupan seharian mereka,” katanya.-UTUSAN
The post Peluang anak muda Kuala Linggi terhad -Mukhlis appeared first on Utusan Malaysia.





