
SEOUL: Produk, jenama dan destinasi pelancongan Malaysia berpeluang menembusi pasaran Korea Selatan menerusi penganjuran Malaysia Fair in Seoul (MFIS) 2026 yang menghimpunkan pemain industri pelbagai sektor dari kedua-dua negara.
Festival dua hari pada 7 dan 8 Nov di Dongdaemun Design Plaza (DDP) itu bukan sahaja mengetengahkan keunikan budaya dan warisan Malaysia, malah membuka peluang kepada kerjasama perniagaan, perdagangan serta pertukaran kepakaran.
Duta Besar Malaysia ke Republik Korea Datuk Mohd Zamruni Khalid berkata MFIS 2026 turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan rakyat Malaysia dan Korea Selatan menerusi pendekatan budaya dan pelancongan.
Beliau berkata penganjuran festival itu selaras dengan kempen Melawat Malaysia 2026-2027.
“Budaya dan pelancongan kekal sebagai antara medium penting yang membolehkan masyarakat kedua-dua negara saling mengenali, memahami serta membina persahabatan berkekalan.
“Kita berharap platform seperti Malaysia Fair ini dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai rakyat Korea untuk menerokai keindahan, kepelbagaian dan pengalaman unik yang ditawarkan Malaysia,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian MFIS 2026 pada Sabtu.
Turut hadir Presiden Persatuan Kebudayaan Korea Samuel Chung.
MFIS 2026 menampilkan pelbagai tarikan termasuk sajian warisan, seni kreatif, kraftangan tradisional, permainan, fesyen, persembahan pentas serta pameran jenama tempatan.
Pengunjung turut disajikan persembahan tarian kebudayaan dan muzik, termasuk persembahan khas artis Malaysia serta kumpulan kebudayaan Sekolah Seni Malaysia.
Pentas festival itu turut dimeriahkan dengan persembahan artis Korea, Kiiras dan penyanyi kelahiran Sabah, Elica Paujin.
Sementara itu, Pengarah Urusan Fazbuzz Events & Media Sdn Bhd Fazura Azima Ag Sha berkata MFIS 2026 dirangka sebagai platform strategik untuk memperkenalkan produk dan perkhidmatan tempatan ke pasaran Korea Selatan, selain memperluas jaringan perniagaan antara pemain industri kedua-dua negara.
Beliau berkata Seoul dipilih sebagai lokasi penganjuran mengambil kira kedudukannya sebagai pusat ekonomi Korea Selatan serta hab kepada syarikat konglomerat global negara itu.
“Jaringan penerbangan terus yang menghubungkan Korea Selatan dengan hab utama Malaysia, termasuk Kota Kinabalu, turut menjadi antara faktor yang menyokong potensi kerjasama dalam sektor pelancongan dan perdagangan.
“Korea Selatan merupakan antara pasaran pelancongan antarabangsa terbesar dan paling pesat berkembang bagi Malaysia.
“Justeru, penyertaan pemain industri daripada sektor pelancongan, pendidikan, teknologi, produk pertanian, makanan dan minuman, kesihatan, peruncitan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta industri kreatif diyakini mampu memberi manfaat dalam mempromosikan produk, perkhidmatan dan destinasi tempatan kepada rakyat Korea Selatan,” katanya.






