Peluang kedua bekas banduan bina pendapatan

16 Aug 2026 • 3:36 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Peluang kedua bekas banduan bina pendapatan

PETALING JAYA: Seramai 22 prospek bekas penghuni Penjara Wanita Kota Kinabalu menerima Kit Mekar Dinamik @ Wanita Bangkit Bersasar sebagai persediaan untuk membina sumber pendapatan dan memulakan kehidupan yang lebih berdikari selepas kembali ke komuniti.

Penyerahan kit tersebut disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Datuk Seri Nancy Shukri dalam rangka lawatan kerja beliau bagi meninjau pelaksanaan Program Mekar Dinamik @ Wanita Bangkit Bersasar (WBB) di Sabah.

Program yang dilaksanakan YKN dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia itu merupakan inisiatif pemerkasaan wanita yang memberi peluang kedua kepada prospek wanita untuk membina semula kehidupan selepas dibebaskan.

Pelaksanaannya menggunakan pendekatan berstruktur merangkumi tiga fasa utama iaitu Fasa Transisi yang memberi tumpuan kepada sokongan emosi dan pembangunan kendiri, Fasa Transformasi melalui pembangunan kemahiran serta Fasa Integrasi yang memberi fokus kepada penjanaan pendapatan.

“Setiap wanita berhak diberikan peluang untuk membina semula kehidupan. Melalui Mekar Dinamik, kita bukan sekadar memberikan bantuan, tetapi menyediakan kemahiran, sokongan dan peralatan yang boleh digunakan untuk menjana pendapatan apabila mereka kembali ke dalam masyarakat.

“Kita mahu mereka keluar dengan keyakinan bahawa mereka mempunyai kemahiran dan peluang untuk berdikari. Sebab itu sokongan yang diberikan perlu membawa mereka daripada proses pemulihan kepada pemerkasaan dan akhirnya mampu menjana pendapatan sendiri,” katanya dalam kenyataan akhbar, hari ini.

Image from: Peluang kedua bekas banduan bina pendapatanMelalui Fasa Integrasi, peserta yang terpilih menerima Kit Mekar Dinamik berupa set peralatan perniagaan berdasarkan kemahiran masing-masing bagi membolehkan mereka memanfaatkan kemahiran yang telah dipelajari untuk memulakan aktiviti menjana pendapatan.

Bagi kumpulan baharu di Sabah, antara kit yang diserahkan ialah Set Bakeri, Set Jahitan, Set Sejuk Beku dan Set Refleksologi yang disesuaikan dengan kemahiran serta bidang yang diceburi peserta.

Nancy turut meluangkan masa bersama peserta dalam aktiviti membuat kuih-muih serta meninjau sendiri set peralatan yang diterima.

Program Mekar Dinamik @ WBB mula dilaksanakan pada 2024 susulan kerjasama YKN dan Jabatan Penjara Malaysia dalam usaha membantu prospek wanita menjalani kehidupan yang lebih baik selepas dibebaskan.

Di Sabah, pelaksanaan program turut diperkukuh melalui Anjung WBB YKN @ Rumah Perantaraan Kota Kinabalu yang menyediakan ruang bagi pelaksanaan aktiviti pemerkasaan termasuk pembuatan pastri dan kuih-muih, kerepek dan biskut, penghasilan kraftangan manik dan mutiara, jahitan dan ubah suai pakaian, bantuan Kit Dinamik serta kemudahan rumah transit sementara.

Bagi tempoh 2024 hingga 2026, seramai 3,584 penerima manfaat telah direkodkan menerusi pelaksanaan Program Mekar Dinamik @ Wanita Bangkit Bersasar dan aktiviti berkaitan yang dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia.

Dalam lawatan sama, Nancy turut meninjau perkhidmatan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) Bergerak yang menyediakan ruang kepada peserta mendapatkan sokongan psikososial. Beliau turut menyaksikan demonstrasi pengurusan kes menggunakan aplikasi MyPSSS.

Lawatan diteruskan ke Rilex Kafe Mekar Dinamik WBB serta tapak Pusat Latihan Kemahiran Mekar Dinamik Zon Sabah di Kompleks Penjara Negeri Sabah sebagai sebahagian usaha memperkukuh pelaksanaan latihan kemahiran dan pemerkasaan peserta.

The post Peluang kedua bekas banduan bina pendapatan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved