Peluang pekerjaan kini jadi keutamaan rakyat Perak - IDR

LocalBusiness & Finance
22 Oct 2026 • 6:08 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Peluang pekerjaan kini jadi keutamaan rakyat Perak - IDR Image from: Peluang pekerjaan kini jadi keutamaan rakyat Perak - IDR sarah22/10/2026 - 18:08

IPOH 22 Okt - Peluang pekerjaan kini menjadi keutamaan rakyat Perak, mengatasi isu kos sara hidup yang sebelum ini menjadi kebimbangan utama, menurut kajian Institut Darul Ridzuan (IDR) bersempena Belanjawan 2027 Negeri Perak.

 

Ketua Eksekutif IDR, Dr Zulqarnain Mohamad berkata, perubahan itu menunjukkan peralihan persepsi rakyat terhadap keperluan semasa, khususnya dalam usaha meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan sosioekonomi di negeri berkenaan.

 

Beliau berkata, kajian terdahulu mendapati kos sara hidup antara isu utama yang membimbangkan rakyat, namun dapatan terbaharu menunjukkan peluang pekerjaan kini mendapat perhatian lebih besar.

 

"Perubahan itu juga mencerminkan kepentingan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bagi memastikan rakyat mempunyai sumber pendapatan yang stabil dan mampu meningkatkan taraf hidup masing-masing," katanya pada sidang media selepas Majlis Makan Malam IDR bersama pengamal media Perak di sini malam tadi.

 

Menurut Zulqarnain, pelbagai inisiatif kerajaan negeri termasuk pelaksanaan Pasar Sejahtera Rakyat dilihat membantu menangani isu kos sara hidup serta memberikan kesan positif kepada masyarakat di peringkat akar umbi.

 

Kajian itu turut mendapati 66.4% responden menyatakan pendapatan bulanan mereka mencukupi, manakala 58.7% berpendapat mereka mampu menyediakan simpanan kecemasan.

 

Beliau berkata, dapatan berkenaan memberikan gambaran positif mengenai keadaan kewangan rakyat, walaupun kemampuan setiap isi rumah berbeza mengikut komitmen dan perbelanjaan masing-masing.

 

Selain itu, kajian tersebut turut menilai modal psikologi (psychological capital) bagi mengukur keyakinan rakyat terhadap masa depan serta keupayaan kerajaan negeri membantu meningkatkan taraf hidup mereka.

 

Zulqarnain berkata, tahap keyakinan rakyat terhadap kerajaan negeri mencatatkan skor 3.96 daripada lima, menunjukkan penilaian positif terhadap prospek kesejahteraan sosioekonomi Perak.

 

"Keyakinan itu perlu disusuli usaha berterusan oleh semua pihak, termasuk kerajaan negeri bagi memperkukuh peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan dan memastikan kesejahteraan rakyat Perak terus dipertingkatkan," katanya.-BERNAMA

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved