Rakyat yakin pelan Perak Sejahtera 2030 mampu tingkat taraf hidup

LocalOpinion
22 Oct 2026 • 8:03 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Rakyat yakin pelan Perak Sejahtera 2030 mampu tingkat taraf hidup
Zulqarnain (berdiri, tengah) bersama pengamal media sempena Majlis Makan Malam IDR Bersama Pengamal Media Perak di sebuah hotel di Ipoh pada Rabu.

IPOH – Keyakinan rakyat terhadap kemampuan kerajaan negeri meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan sosioekonomi menunjukkan perkembangan positif menerusi pelaksanaan pelan Perak Sejahtera 2030.

Ketua Eksekutif Institut Darul Ridzuan (IDR), Dr Zulqarnain Mohamad berkata, dapatan kajian persepsi rakyat yang dijalankan institusi itu menunjukkan tahap keyakinan tinggi terhadap keupayaan kerajaan negeri membantu meningkatkan taraf hidup mereka.

Menurutnya, indeks psychological capital atau modal psikologi yang mengukur keyakinan rakyat mencatatkan skor 3.9 daripada lima bersamaan 78 peratus.

“Daripada dapatan itu, rakyat Perak yakin bahawa kerajaan boleh membantu menaikkan taraf hidup mereka.

“Keyakinan ini penting kerana ia memberikan semangat kepada semua pihak untuk bekerja lebih keras bagi meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan sosioekonomi di negeri ini,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Makan Malam IDR Bersama Pengamal Media Perak di sebuah hotel di sini pada Rabu.

Menurut Zulqarnain, keyakinan terhadap masa depan juga menunjukkan skor memberangsangkan iaitu 3.96 daripada lima.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, kajian berkenaan turut mendapati 66.4 peratus responden menyatakan pendapatan bulanan mereka mencukupi manakala 58.7 peratus mengakui mampu menyediakan simpanan kecemasan.

Menurutnya, dapatan itu memberikan gambaran positif mengenai keadaan sosioekonomi rakyat, meskipun masih terdapat ruang untuk penambahbaikan.

Beliau berkata, perubahan keutamaan rakyat dalam kajian yang dijalankan juga menunjukkan peralihan daripada isu kos sara hidup kepada peluang pekerjaan sebagai agenda yang perlu diberikan perhatian utama.

“Pada tahun sebelumnya, fokus rakyat lebih kepada kos sara hidup. Namun, menerusi kajian terbaharu, peluang pekerjaan dilihat menjadi keutamaan.

“Saya melihat pelbagai usaha kerajaan negeri, termasuk pelaksanaan Pasar Sejahtera Rakyat, membantu rakyat dan memberikan kesan positif di peringkat akar umbi,” katanya.

Tambah beliau, dapatan tersebut menunjukkan usaha kerajaan negeri perlu diteruskan bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai seluruh lapisan masyarakat tanpa ada yang tercicir.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved