IPOH - Peluang diberikan untuk menyampaikan khutbah Jumaat disifatkan sebagai satu pengiktirafan besar kepada golongan belia di Perak dalam usaha mengimarahkan masjid serta melahirkan generasi muda berilmu dan berwibawa.
Khatib muda, Muhammad Azamuddin Ahmad Syahrul Herman, 18, mengakui berasa gementar apabila diberi amanah menyampaikan khutbah bertajuk ‘Belia: Tenaga Penggerak Kemajuan Negara’ kerana ia merupakan pengalaman pertamanya.
Menurut pelajar Madrasah Al-Hikmah itu, peluang berkenaan membuka ruang kepada anak muda untuk lebih mendekati bidang agama dan institusi masjid.
“Apabila saya sebagai belia diberi peluang untuk khutbah, itu satu peluang yang sangat baik untuk seorang pemuda menceburi bidang agama khususnya.
“Kita tahu ulama ada menyebut bahawa hidupnya seorang pemuda itu dengan ilmu dan ketakwaan,” katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri Perak) di sini pada Jumaat.
Muhammad Azamuddin berkata, persiapan rapi dilakukan sebelum menyampaikan khutbah berkenaan termasuk mengulang bacaan teks khutbah selama beberapa jam selain menonton video penyampaian khutbah imam-imam lain bagi memastikan penyampaiannya lancar.
Johan pertandingan Bacaan Kitab Turath dalam Majlis Ihtifal Ilmi Sekolah Menengah Agama Perak itu turut menyimpan cita-cita untuk menjadi mufti atau ahli Majlis Fatwa suatu hari nanti.
Dia yang dicadangkan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berkata, peluang seperti itu juga mampu menarik lebih ramai anak muda mendekati masjid melalui pendekatan yang bersesuaian dengan jiwa belia.
Sementara itu, Yang Dipertua ABIM Perak, Muhammad Ukasyah Azhari berkata, Muhammad Azamuddin dipilih berdasarkan potensi besar yang ditunjukkan sejak menyertai madrasah berkenaan ketika tingkatan empat.
Katanya, selain memegang jawatan Ketua Umum sekolah, Muhammad Azamuddin aktif menyampaikan ucapan dalam program usrah dan majlis rasmi sekolah.
“Kami melihat potensi yang ada pada beliau luar biasa. Terbaharu beliau dinobatkan sebagai Johan Kitab Turath peringkat negeri dengan markah 90 peratus.
“Kita doakan beliau menjadi pewaris ulama dan kepimpinan di Negeri Perak,” katanya.
Muhammad Azamuddin merupakan sebahagian 94 orang belia yang diperkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah membaca khutbah Jumaat di masjid seluruh negeri menjelang sambutan Hari Belia Negara.



