Sultan Nazrin perkenan 94 belia baca khutbah Jumaat

LocalPolitics
7 May 2026 • 9:26 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sultan Nazrin perkenan 94 belia baca khutbah Jumaat
Sultan Nazrin Shah berkenan golongan belia diberi penghormatan membaca khutbah Jumaat di masjid seluruh negeri esok. Foto fail Bernama

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memperkenankan golongan belia diberi penghormatan membaca khutbah Jumaat di masjid seluruh negeri esok.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata, khutbah bertajuk 'Belia: Tenaga Penggerak Kemajuan Negara' itu bersempena sambutan Hari Belia Negara yang akan disambut 15 Mei ini.

"Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak telah mengemukakan 94 nama pemimpin belia yang telah diperkenan oleh baginda Sultan Perak untuk membaca khutbah di masjid dan surau diri Jumaat pada 8 Mei ini," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Pembaca khutbah terdiri daripada pemimpin pelbagai pertubuhan belia di Perak antaranya Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Majlis Belia Daerah, Gerakan Belia 4B, Kelab Rakan Muda, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), persatuan mahasiswa dan kelab belia masjid.

Antara pembaca khutbah ialah, Muhammad Azamudddin Ahmad Syahrul Herman di Masjid Sultan Idris Shah II; Muhammad Abdin Shakiran Azuddin (Masjid Muhibbuddin Shah) dan Mohamad Haikal Sopian (Masjid Sultan Azlan Shah) masing-masing daripada ABIM.