Peluang Selangor jadi raja bola sepak ASEAN sebenar

FootballSports
20 May 2026 • 8:15 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Peluang Selangor jadi raja bola sepak ASEAN sebenar
Menanti Selangor FC di final ACC adalah juara bertahan, Buriram United. Foto: Selangor FC

KEJAYAAN mara ke pentas akhir Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) dilihat sebagai peluang terbaik buat Selangor FC menebus kekecewaan selepas gagal melayakkan diri ke saingan Asia musim depan.

Malah, aksi final itu cukup penting buat skuad Gergasi Merah bagi menutup episod suram musim ini apabila sekadar menamatkan saingan Liga Super di kedudukan ketiga selain gagal mara ke final Piala FA dan Piala Malaysia.

Sebelum ini, Selangor mencipta sensasi apabila berjaya melangkah ke perlawanan akhir ACC biarpun pada awal saingan ramai pihak tidak meletakkan harapan tinggi terhadap kemampuan pasukan itu untuk pergi jauh.

Namun, aksi cemerlang dipamerkan anak buah Kim Pan-gon membuktikan sebaliknya apabila mereka berjaya menempah tiket ke final dan kini hanya selangkah lagi untuk memburu gelaran ‘Raja bola sepak ASEAN’ sebenar.

Bagaimanapun, gergasi Thailand, Buriram United bakal menjadi penghalang terakhir buat Selangor dalam misi memburu kejuaraan tersebut.

Rekod pertemuan kedua-dua pasukan dalam aksi Kumpulan A ACC sebelum ini juga membuktikan Selangor mampu memberi tentangan sengit apabila berjaya mengikat Buriram 1-1.

Keputusan itu memberi bayangan awal Selangor berupaya mencipta kejutan besar sekiranya berjaya mengekalkan disiplin permainan serta konsisten sepanjang dua aksi final nanti.

Keupayaan Pan-gon merencana taktikal berkesan sememangnya amat diharapkan dalam menghadapi kualiti dimiliki Buriram.

Segalanya bersandarkan kepada kemampuan pengendali dari Korea Selatan itu yang berjaya menyuntik DNA baharu lebih agresif, bertenaga dan berdisiplin tinggi dalam pasukan.

Rekodnya bersama Selangor juga cukup memberangsangkan apabila hanya merekodkan satu kekalahan dalam 20 perlawanan setakat ini iaitu tewas tipis di tangan Kuching City FC dalam aksi separuh akhir Piala Malaysia.

Menjelang aksi final yang dijadualkan berlangsung pada 20 dan 27 Mei ini, Selangor dilihat memiliki sedikit kelebihan psikologi.

Ia susulan ketiadaan dua tonggak utama Buriram, Guilherme Bissoli dan Goran Causic yang terpaksa melupakan aksi final pertama akibat penggantungan kad merah.

Tanpa kehadiran dua pemain tersebut, struktur permainan Buriram dijangka sedikit goyah dan situasi itu wajib dimanfaatkan sepenuhnya oleh Selangor terutama dalam aksi final pertama di gelanggang sendiri.

Jika anak buah Pan-gon berjaya membawa bekalan jaringan selesa sebelum bertandang ke Thailand, laluan untuk menjulang trofi pastinya menjadi lebih cerah.

Selain itu, harapan besar juga disandarkan kepada peledak import berbisa Selangor, Chrigor Moraes yang tampil cukup tajam sepanjang musim ini termasuk dalam saingan ACC.

Penyerang kelahiran Brazil itu bukan sahaja berada dalam kelompok penjaring terbanyak Liga Super, malah terus membuktikan nilainya di pentas ACC.

Perlawanan akhir ini turut membawa makna lebih besar buat Selangor kerana ia peluang terbaik untuk mengembalikan semula kegemilangan dan reputasi kelab yang pernah menjadi antara kuasa besar bola sepak negara.

Di sebalik kemarau kejuaraan utama domestik dalam beberapa musim kebelakangan ini, Selangor kini memiliki peluang terbaik untuk menghantar mesej jelas kepada seluruh rantau bahawa mereka masih sebuah pasukan yang wajib digeruni.

Jika trofi ACC berjaya dibawa pulang ke Shah Alam, ia sudah tentu akan mengangkat Selangor sebagai 'Raja bola sepak ASEAN' sebenar.

*Muhammad Zakwan Nazaraly ialah wartawan Sukan Sinar