Pemain badminton negara diberikan ‘standing ovation’

29 Jul 2024 • 8:10 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Satu tugasan yang bukan mudah bagi mara ke peringkat seterusnya dalam kejohanan Sukan Olimpik. Tetapi itu bukan perkara mustahil bagi atlet badminton negara yang telah mara ke suku akhir perlawanan.

Regu wanita Pearly Tan dan M Thinaah mempamerkan aksi yang sangat bertenaga apabila berjaya menewaskan pasangan keenam dunia Mayu Matsumoto dan Wakana Nagahara dari Jepun pada aksi Kumpulan A dengan catatan 18-21, 21-15, 21-16.

Walaupun bukan bertanding di gelanggang sendiri, sokongan dari penonton sangat mengujakan.

Melihat aksi yang cukup bersemangat oleh regu wanita negara, penonton-penonton dilihat berdiri dan bertepuk tangan sebaik sahaja tamat perlawanan.

Tidak kurang juga yang mengibarkan jalur gemilang tanda meraikan kemenangan tersebut.

‘Standing ovation’ juga dapat disaksikan dalam perlawanan beregu campuran Tang Jie-Toh Ee Wei selepas mereka menewaskan gandingan Amerika Syarikat, Vinson Chiu-Jennie Gai 21-15, 24-22 pada perlawanan kedua di pentas Olimpik.

Dalam pada itu, beregu utama lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya menewaskan beregu Kanada, Adam Dong-Nyl Yakura, 21-10, 21-15 dalam perlawanan Kumpulan A yang berlangsung selama 40 minit.