Pemain Badminton Negara Kurang Keazaman Untuk Menang - Chong Wei

7 Sep 2026 • 11:13 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Pemain Badminton Negara Kurang Keazaman Untuk Menang - Chong Wei

KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Legenda badminton negara Datuk Seri Lee Chong Wei mengakui barisan pemain negara tidak mempunyai keazaman yang tinggi untuk menang, tidak seperti yang dimiliki pemain Perancis walaupun mereka mempunyai bakat.

Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu berkata terdapat perbezaan ketara antara mentaliti pemain tempatan dengan semangat juang yang ditunjukkan pemain Perancis, khususnya susulan kejayaan negara Eropah itu merangkul dua gelaran dunia di New Delhi bulan lepas.

“Jika anda bertanya kepada saya sebelum ini, tiada siapa yang akan percaya Perancis mampu memenangi dua gelaran pada kejohanan dunia. Mereka telah membuktikan kemampuan mereka dan kita juga mesti membuktikan bagaimana kita boleh memperbaiki prestasi pada masa depan.

“Anda boleh lihat pemain Perancis memasuki gelanggang dengan keazaman yang tinggi untuk menang. Pemain kita juga memilikinya tetapi mungkin tidak mencukupi,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Badminton Perancis terus mengukuhkan kehadirannya di pentas antarabangsa dengan melakar satu lagi pencapaian bersejarah apabila memenangi gelaran dunia pertama mereka dalam acara perseorangan lelaki dan beregu campuran pada hari yang sama.

Baca juga:

Alex Lanier menjadi pemain Perancis pertama merangkul gelaran dunia dalam acara perseorangan lelaki manakala Thom Gicquel-Delphine Delrue mencipta sensasi apabila meraih gelaran beregu campuran.

Bukan itu sahaja, pasukan badminton lelaki Perancis turut memenangi pingat perak pada Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark, Mei lepas.

Chong Wei ketika ditanya secara khusus mengenai pemain perseorangan lelaki nombor satu Malaysia Leong Jun Hao mengakui kesukaran yang dihadapi pemain itu, sambil menegaskan keperluan segera untuk melakukan perubahan dari segi sikap serta mempunyai keinginan peribadi yang lebih kuat.

Bekas pemain nombor satu dunia itu tidak berselindung mengenai perkembangan karier pemain berusia 27 tahun berkenaan, sambil memberi amaran bahawa masa semakin suntuk bagi pemain itu untuk mencipta impak yang besar di pentas antarabangsa.

“Saya harap beliau tahu apa yang beliau perlukan dan apa yang beliau mahukan. Beliau bukan lagi berusia 18 atau 20 tahun... Beliau tidak mempunyai banyak masa lagi dan perlu tahu apa yang diperlukan.

“Beliau mungkin mempunyai satu lagi peluang terakhir untuk beraksi pada Sukan Olimpik 2028 bergantung kepada keadaannya. Ini mengenai keinginan,” katanya.

Pemenang tiga kali pingat perak Sukan Olimpik dalam acara perseorangan lelaki itu berkata disiplin kekal sebagai tunjang utama kejayaan, sambil menegaskan tiada pemain, tanpa mengira bakat yang dimiliki mampu mencapai tahap dunia tanpa disiplin.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved