Pemain industri e-hailing persoal rasional kenaikan premium insurans lebih lima kali ganda sejak 2019

LocalBusiness & Finance
17 Nov 2026 • 4:59 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pemain industri e-hailing persoal rasional kenaikan premium insurans lebih lima kali ganda sejak 2019 Image from: Pemain industri e-hailing persoal rasional kenaikan premium insurans lebih lima kali ganda sejak 2019 liza17/11/2026 - 16:59 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 Nov – Kenaikan premium insurans e-hailing harian daripada RM1.30 kepada RM7 hingga RM7.50 sejak 2019 mencetuskan persoalan dalam kalangan pengusaha industri yang menuntut syarikat insurans mendedahkan data tuntutan bagi membuktikan asas kenaikan lebih lima kali ganda itu.

 

Wakil industri berkata, syarikat insurans menggunakan alasan jumlah tuntutan yang tinggi sebagai justifikasi kenaikan premium, namun tidak menyediakan data mencukupi bagi menyokong peningkatan kos berkenaan.

 

Ketua aktivis Gabungan E-Hailing Malaysia (GEM), Mazrizal Mahidin berkata, pihaknya tidak membantah keperluan membayar perlindungan insurans tambahan, tetapi mahu syarikat insurans menjelaskan asas kenaikan premium tersebut.

 

Beliau berkata, berdasarkan anggaran GEM, jumlah kenderaan e-hailing yang sedang beroperasi di Malaysia ketika ini tidak melebihi 300,000 buah sekali gus menimbulkan persoalan mengenai punca jumlah tuntutan yang didakwa tinggi.

 

"Kami berharap pihak berkuasa berkaitan perlu menyediakan data ini kepada kami. Setakat ini, kami masih belum menerima jawapan rasmi dan apa yang kami mahukan ialah ketelusan dalam isu ini," katanya lapor The Star.

 

Pengusaha mahu data tuntutan didedahkan

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif GV Ride, Kabeer Singh berkata, pengendali platform e-hailing tidak mempunyai maklumat mencukupi untuk mengenal pasti sama ada kerugian yang dilaporkan syarikat insurans berpunca daripada polisi insurans e-hailing tahunan atau harian.

 

Katanya, akses kepada data tuntutan itu penting bagi membolehkan pengendali platform menilai risiko dengan lebih tepat serta meningkatkan aspek keselamatan pemandu.

 

Beliau berkata, penggunaan teknologi telematik untuk memantau tingkah laku pemanduan juga boleh membantu meningkatkan keselamatan dan pengurusan risiko dalam industri berkenaan.

 

Pilihan insurans harian terhad

Sementara itu, Ketua Perhubungan Kerajaan dan Pematuhan Undang-undang Maxim Malaysia, Mushriq Ahmed Chowdhury membangkitkan isu keterbatasan pilihan perlindungan insurans e-hailing harian yang ketika ini hanya ditawarkan melalui satu pengendali platform.

 

Beliau menyifatkan keadaan itu sebagai kelebihan monopoli, memandangkan pemandu yang menggunakan platform lain mempunyai pilihan lebih terhad, khususnya mereka yang tidak mampu menanggung kos perlindungan tahunan.

 

Katanya, pasaran insurans e-hailing memerlukan lebih banyak persaingan dan akses yang lebih mudah, susulan bilangan syarikat insurans yang menawarkan perlindungan berkenaan semakin berkurangan sejak beberapa tahun lalu.

 

Mushriq berkata, keterbatasan pilihan insurans harian itu berpunca daripada aturan komersial antara syarikat insurans dengan pengendali platform tertentu dan bukannya sekatan kawal selia.

 

“Keadaan itu menyebabkan Maxim Malaysia perlu mewajibkan pemandunya mendapatkan perlindungan insurans e-hailing tahunan yang menambah beban kos kepada pemandu,” katanya.

 

Cadang sistem semakan perlindungan masa nyata

Beliau mencadangkan supaya syarikat insurans menyediakan sistem yang membolehkan pengendali platform e-hailing menyemak secara terus sama ada pemandu mempunyai perlindungan insurans yang sah, walaupun mereka beroperasi melalui platform berbeza.

 

“Cadangan itu telah dikemukakan kepada tiga syarikat insurans sepanjang dua tahun lalu, namun masih belum menerima maklum balas konkrit.

 

“Infrastruktur yang diperlukan sudah tersedia dan syarikat insurans hanya perlu memberikan akses kepada pengendali platform e-hailing bagi membolehkan sistem semakan tersebut dilaksanakan,” katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved