Pemandu e-hailing perlu perlindungan insurans hadapi risiko musim monsun

LocalBusiness & Finance
17 Nov 2026 • 3:34 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pemandu e-hailing perlu perlindungan insurans hadapi risiko musim monsun

KUALA LUMPUR: Pemandu e-hailing disaran mendapatkan perlindungan insurans komprehensif termasuk perlindungan tambahan bencana alam bagi menghadapi risiko kerosakan kenderaan ketika musim monsun, meskipun berdepan kenaikan kos premium melebihi 200 peratus.

Ketua Aktivis Gabungan eHailing Malaysia (GEM), Masrizal Mahidin berkata, perlindungan insurans penting bagi pemandu yang menghabiskan sebahagian besar masa di jalan raya dan terdedah kepada risiko seperti banjir kilat, pokok tumbang serta kerosakan akibat cuaca buruk.

Beliau berkata, pemandu perlu meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan perlindungan tersebut dan tidak mengabaikannya semata-mata untuk menjimatkan kos tambahan sekitar RM30 hingga RM40.

Bagaimanapun, katanya, kenaikan kos insurans tambahan e-hailing yang mencecah lebih 200 peratus dalam tempoh dua hingga tiga tahun kebelakangan ini menimbulkan keresahan dalam kalangan pemandu.

“Kenaikan itu adalah tidak munasabah, terutama apabila pihaknya masih belum menerima penjelasan rasmi mengenai asas penetapan kadar premium berkenaan.

“Kita tidak mempertikaikan keperluan insurans tambahan ini, tetapi kita mahukan kejelasan mengenai asas kenaikan tersebut.

“Jika kenaikan berlaku disebabkan peningkatan tuntutan, kita mahu melihat data berkaitan jumlah tuntutan, jenis kemalangan dan asas pengiraan yang digunakan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Dialog Industri: Kos Pemanduan – Insurans E-Hailing, Akses Pasaran dan Ekonomi Gig Malaysia.

Mengulas lanjut, Masrizal berkata, pihaknya dimaklumkan secara tidak rasmi bahawa peningkatan premium berpunca daripada jumlah tuntutan insurans yang tinggi, namun maklumat terperinci masih belum dikemukakan kepada GEM.

“Anggaran menunjukkan jumlah kenderaan e-hailing yang beroperasi ketika ini tidak melebihi 300,000 unit, justeru data berkaitan jumlah kenderaan dilindungi dan tuntutan mengikut syarikat insurans perlu didedahkan bagi memastikan ketelusan industri.

“GEM telah mengadakan libat urus dengan Bank Negara Malaysia (BNM) sejak dua tahun lalu, termasuk menerusi sesi town hall bagi mengemukakan masalah berkaitan kos insurans tambahan e-hailing.

Tambah beliau, pihaknya dimaklumkan BNM sedang mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pengangkutan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) berhubung perkara yang dibangkitkan, namun masih belum menerima perkembangan rasmi.

“Sehubungan itu, saya berharap penambahbaikan dapat dilaksanakan segera bagi mengurangkan beban kos pemandu tanpa menjejaskan keperluan perlindungan insurans serta fleksibiliti pekerjaan gig,” katanya. – UTUSAN

The post Pemandu e-hailing perlu perlindungan insurans hadapi risiko musim monsun appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved