
MADRID: Jose Mourinho kembali memperkenalkan sistem disiplin ‘keras’ yang menjadikan tempat dalam kesebelasan utama Real Madrid sebagai taruhan pemain yang melanggar peraturan.
Menurut laporan media Sepanyol, Mourinho memansuhkan sistem denda lama antara 85 pound (RM465) hingga 250 pound (RM1,368) bagi pemain yang hadir lewat pada sesi latihan.
Sebaliknya, pengendali kelahiran Portugal itu mengenakan hukuman lebih berat dengan menghantar pemain terlibat ke gimnasium dan tidak membenarkan mereka menyertai latihan utama.
Malah, pemain yang gagal mematuhi masa ditetapkan boleh digugurkan daripada perlawanan berikutnya, dengan Mourinho turut memberi perhatian khusus kepada ketepatan masa, latihan, pemulihan kecederaan dan pemakanan skuad.
Pendekatan tegas itu dipercayai mendapat inspirasi daripada pengendali Barcelona, Hansi Flick, yang sebelum ini turut memperkenalkan hukuman terhadap pemain yang lewat sebelum mengubahnya kepada denda besar pada hari perlawanan.
Namun, disiplin ketat bukan perkara baharu buat Mourinho apabila sebelum ini pernah melakukannya pada 2010 selepas pemain terlalu selesa termasuk kapten Real itu, Iker Casillas.
“Perkara pertama yang dia katakan kepada saya ialah, ‘Saya datang untuk meminta lebih banyak masa cuti bagi pemain pasukan kebangsaan’.
“Kemudian dia meminta saya melambatkan latihan selama sejam kerana pada waktu saya mahu memulakan sesi latihan, keadaan trafik di Madrid sangat sesak.
“Kali ketiga dia memberitahu saya mereka tidak mahu pergi ke hotel, sebaliknya lebih suka bertemu pada hari perlawanan dan terus ke stadium. Saya sedar mereka sudah dimanjakan,” kata Mourinho.
Kini, Mourinho turut mewajibkan pemain yang mengalami kecederaan menjalani pemulihan di pusat latihan Valdebebas, selain mengetatkan kawalan terhadap pemakanan skuad.
Langkah itu hadir ketika Real mahu bangkit selepas gagal memenangi sebarang trofi musim lalu, selain berdepan isu pengaruh pemain.
Mourinho pernah berjaya mengubah keadaan apabila membawa Real menjuarai La Liga pada musim 2011-12 dengan rekod 100 mata dan 121 gol.-AGENSI
The post Pemain Real kena ikut disiplin Mourinho appeared first on Utusan Malaysia.




