Pemain remaja Thailand, Namo raih gelaran kedua di Malaysia

7 Aug 2026 • 5:46 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pemain remaja Thailand, Namo raih gelaran kedua di Malaysia

KUALA LUMPUR: Pemain remaja Thailand, Namo Luangnitikul terus membuktikan Malaysia sebagai gelanggang kegemarannya apabila muncul juara Kejohanan Golf Amatur Wanita Terbuka Royal Selangor Golf Club (RSGC) ke-49 selepas mengungguli saingan dari hari pertama hingga penamat.

Pemain berusia 17 tahun dari Phuket itu yang juga juara Terbuka Amatur Wanita Malaysia tahun lalu mempamerkan aksi konsisten dengan mencatat 72, 70 dan 73 pukulan bagi mengumpul keseluruhan empat bawah par 215 dalam kejohanan 54 lubang yang berlangsung di Padang Timur RSGC.

Namo menamatkan saingan dengan kelebihan tiga pukulan mengatasi wakil negara, Wang Xin Yao yang meraih satu bawah par 218 hasil catatan 72, 74 dan 72 pukulan, sekali gus muncul naib juara di hadapan penyokong sendiri.

Thailand turut menguasai kedudukan podium apabila Arisa Bintachitt menduduki tempat ketiga dengan 220 pukulan, diikuti Sarisa Pojanalai di tangga keempat menerusi 223 pukulan. Pemain Singapura, Passion Hsu melengkapkan kelompok lima terbaik dengan keseluruhan 226 pukulan.

Juara APGC Junior Girls 2025, Kritchanya Kaopattanaskul pula mencuri tumpuan apabila merekodkan pusingan terbaik kejohanan dengan enam bawah par 67 pada hari terakhir.

Namun, permulaan hambar menerusi catatan 81 dan 80 pukulan pada dua pusingan awal menyebabkan beliau sekadar menamatkan saingan di kedudukan ketujuh.

Kejohanan edisi ke-49 itu menghimpunkan barisan pemain amatur elit dari 11 negara iaitu Malaysia, Thailand, Jepun, Korea Selatan, Singapura, Indonesia, Australia, Amerika Syarikat, Hong Kong, Taiwan dan Vietnam, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai antara kejohanan amatur wanita paling berprestij di rantau Asia Pasifik.

Pengerusi Penganjur, Omar Salim berkata, kejohanan berkenaan terus memainkan peranan penting dalam melahirkan bakat baharu golf wanita selain menjadi platform terbaik untuk pemain muda mengukur kemampuan mereka di pentas antarabangsa.

“Selama hampir lima dekad, Kejohanan Golf Amatur Wanita Terbuka RSGC memberi peluang kepada pemain muda berbakat bersaing dengan pemain terbaik di rantau ini, di samping memupuk kecemerlangan, semangat kesukanan dan persahabatan.

“Kami berbangga dapat meneruskan tradisi ini dan kekal komited menyokong pembangunan golf wanita di seluruh rantau Asia Pasifik,” katanya.

Menurut beliau, menjelang ulang tahun ke-50 kejohanan itu pada tahun depan, RSGC bertekad untuk terus menganjurkan pertandingan bertaraf dunia yang mampu mencungkil lebih ramai pemain muda berbakat serta mengukuhkan legasinya sebagai antara kejohanan golf amatur wanita paling berprestij di rantau ini.

Kejohanan yang berlangsung dari 4 hingga 6 Ogos itu diadakan di Royal Selangor Golf Club, kelab golf tertua di Malaysia yang ditubuhkan pada 1893 dan terus menjadi antara lokasi utama penganjuran kejohanan golf berprestij di negara ini. – UTUSAN

The post Pemain remaja Thailand, Namo raih gelaran kedua di Malaysia appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved