Pemaju, kerajaan perlu kongsi tanggungjawab tangani kerugian banjir

LocalBusiness & Finance
9 Nov 2026 • 10:10 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pemaju, kerajaan perlu kongsi tanggungjawab tangani kerugian banjir

PETALING JAYA: Kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemaju perlu memainkan peranan masing-masing dalam menangani kerugian ekonomi akibat kejadian banjir kilat yang semakin kerap berlaku, khususnya di kawasan pembangunan pesat.

Pensyarah Pusat Pengajian Ekonomi,Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM),Prof. Dr. Shazida Jan Mohd Khan berkata, tanggungjawab itu tidak seharusnya hanya diberikan perhatian selepas bencana berlaku, sebaliknya perlu bermula sejak peringkat perancangan dan kelulusan pembangunan bagi mengurangkan risiko kerugian kepada masyarakat.

Katanya, usaha menangani kesan ekonomi akibat banjir perlu dilihat sebagai tanggungjawab bersama antara kerajaan, PBT, pemaju dan masyarakat berdasarkan peranan serta kewajipan masing-masing.

“Tanggungjawab tersebut perlu bermula sebelum sesuatu pembangunan diluluskan, diteruskan sepanjang pelaksanaan projek dan selepas ia disiapkan, termasuk dari aspek penyelenggaraan serta pemantauan.

“Pembangunan bukan sahaja perlu dinilai berdasarkan pertumbuhan ekonomi yang dijana, tetapi juga sejauh mana ia mampu melindungi masyarakat daripada risiko dan kerugian pada masa hadapan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah kerugian akibat banjir di seluruh negara pada 2025 dianggarkan sebanyak RM636.9 juta.

Mengulas lanjut, Shazida Jan berkata, kos ekonomi akibat perubahan cuaca sememangnya tinggi, terutama apabila negara berdepan kejadian cuaca ekstrem seperti hujan lebat dan banjir kilat.

Katanya, perubahan corak cuaca yang semakin ketara berbanding satu atau dua dekad lalu turut memberikan kesan kepada kawasan bandar yang padat dengan penduduk dan pembangunan seperti Lembah Klang.

Jelasnya, kerugian akibat banjir bukan sahaja melibatkan kerosakan harta benda dan infrastruktur, malah turut merangkumi kehilangan pendapatan, gangguan operasi perniagaan serta produktiviti ekonomi.

Sehubungan itu, beliau berpandangan sudah tiba masanya pendekatan perancangan dan kelulusan pembangunan dinilai semula dengan mengambil kira risiko cuaca ekstrem, kapasiti sistem saliran dan kesan kumulatif pembangunan di sesuatu kawasan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, isu berkenaan tidak seharusnya tertumpu kepada usaha mencari pihak yang perlu dipersalahkan atau menentukan siapa yang perlu menanggung kos kerugian lebih besar.

Beliau turut berharap semua pihak lebih terbuka dan mencari penyelesaian praktikan dan berkesan termasuk pelajari pengalaman negara lain dalam merancang bandar serta infrastruktur bagi hadapi cuaca ekstrem. – UTUSAN

The post Pemaju, kerajaan perlu kongsi tanggungjawab tangani kerugian banjir appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved