Tujuh kali dilanda banjir, MB bincang penyelesaian Masjid At-Taufiqiah

LocalEnvironment
6 Nov 2026 • 3:39 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Tujuh kali dilanda banjir, MB bincang penyelesaian Masjid At-Taufiqiah

KUALA SELANGOR, 6 NOV: Kerajaan Negeri akan mengadakan perbincangan dengan pengurusan Masjid At-Taufiqiah di Bandar Seri Coalfields bagi menentukan sama ada masjid itu perlu dipindahkan atau dikekalkan dengan kerja menaik taraf susulan tujuh kejadian banjir sejak 2021.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kedua-dua pilihan itu akan diteliti bagi mencari penyelesaian terbaik terhadap masalah banjir berulang yang menjejaskan keselamatan dan keselesaan ahli kariah.

Image from: Tujuh kali dilanda banjir, MB bincang penyelesaian Masjid At-Taufiqiah
Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari diberikan taklimat ketika meninjau keadaan kesan limpahan air dan banjir di beberapa kawasan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam di Kuala Selangor pada 6 November 2026.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

“Saya perlu berbincang dengan pihak Masjid At-Taufiqiah nanti. Sebab sudah tujuh kali (banjir) sejak 2021. Sama ada kita perlu tinggikan masjid atau pindahkan masjid tersebut kerana tempat itu sentiasa jadi titik rendah.

“Sebab itu ada orang bertanyakan kenapa tidak hujan tetapi air naik. Itu adalah limpahan dari Sungai Subang dan kemudian mengalir ke Merbau Sempak, dan akhirnya ke Sungai Buloh dan sampai ke berhampiran masjid,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima taklimat daripada Pegawai Daerah Kuala Selangor, Mohd Raiz Radzuan dan agensi teknikal serta meninjau kolam tadahan air di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam, hari ini.

Sementara itu, Amirudin berkata Kerajaan Negeri meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku pada hujung minggu ini.

Menurutnya, semua agensi berkaitan, khususnya pasukan pengurusan bencana, diarahkan mempergiat pemantauan di kawasan pesisir pantai yang berisiko dilanda banjir.

“Tahap tertinggi (air pasang) adalah lebih 5 meter. Semalam pun sudah berlaku sebenarnya tetapi tidak terlalu tinggi. Kejadian banjir pada 2021 adalah pada kadar air pasang 4.5 ke 4.6 meter dengan (taburan) hujan tinggi.

“Kita telah ingatkan seluruh kawasan pesisir untuk lakukan pemantauan,” katanya.

Image from: Tujuh kali dilanda banjir, MB bincang penyelesaian Masjid At-Taufiqiah
Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau keadaan kesan limpahan air dan banjir di beberapa kawasan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam di Kuala Selangor pada 6 November 2026.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Terdahulu, Media Selangor melaporkan fenomena air pasang besar dijangka berlaku di Pelabuhan Klang dari 7 hingga 11 November, dengan paras air laut diramal mencecah 5.2 meter pada Ahad ini.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang, paras tertinggi itu dijangka direkodkan pada jam 5.02 pagi, 8 November, sekali gus berada dalam kategori amaran.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved