hamden18/11/2026 - 10:54 Gambar Hiasan KUALA LUMPUR 18 Nov - Pemaju hartanah tidak boleh melepaskan diri daripada liabiliti terhadap kecacatan pembinaan yang berulang walaupun selepas tamat tempoh liabiliti kecacatan (DLP), menurut keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes membabitkan pembangunan perumahan mewah D'Island Residence di Puchong.
Hakim Sumathi Murugiah memutuskan Astana Modal (M) Sdn Bhd kekal bertanggungjawab terhadap kecacatan pembinaan selepas mendapati kerja-kerja pembaikan yang dilaksanakan pemaju itu gagal mengatasi masalah kebocoran air dan kerosakan berkaitan di kediaman berkenaan.
Menurut laporan NST, Hakim Sumathi berkata, dengan tamatnya tempoh DLP serta kerja-kerja pembaikan terdahulu tidak boleh dijadikan pembelaan sepenuhnya sekiranya kecacatan masih berlaku atau berulang akibat pembaikan yang tidak berkesan.
Dalam alasan penghakiman yang disampaikan semalam, beliau mendapati pembeli berjaya membuktikan bahawa Astana melanggar kewajipannya untuk membina dan menyerahkan hartanah mengikut standard mutu kerja pembinaan yang baik dan profesional.
Keputusan itu susulan dua tindakan saman terhadap Astana yang melibatkan 69 pembeli bagi 41 unit rumah berkembar dan superlink, serta dua lagi pembeli sebuah rumah dua tingkat dalam pembangunan sama.
Pembeli mendakwa kediaman mereka mempunyai pelbagai kecacatan termasuk keretakan, kebocoran air, kesan kotoran, kemasan tidak rata serta kelemahan struktur yang didakwa berlaku.
Walaupun Astana telah melaksanakan kerja-kerja pembaikan beberapa kali, sebahagian kecacatan masih berterusan atau berulang sehingga mendorong pembeli mengambil tindakan undang-undang.
Kecacatan berulang membimbangkan
Hakim Sumathi berkata, kejadian kecacatan berulang itu membimbangkan memandangkan hartanah berkenaan dipasarkan sebagai kediaman mewah dan dijual pada harga tinggi.
Beliau turut menyatakan bahawa kecacatan dalam kes berkenaan bukan sekadar aduan terpencil yang berlaku sepanjang tempoh DLP, sebaliknya sebahagiannya kembali muncul walaupun selepas usaha pembaikan dilakukan dan tempoh liabiliti itu berakhir.
Malah, pakar struktur yang dilantik Astana sendiri mengakui kerosakan pada siling plaster akibat kebocoran air bukan perkara lazim bagi bangunan berusia lima tahun.
Mahkamah turut memutuskan bahawa pemaju tidak boleh menggunakan klausa 'sebagaimana keadaan sedia ada dan di lokasi sedia ada' (as is where is) dalam perjanjian jual beli (SPA) untuk mengelakkan liabiliti terhadap kecacatan tersembunyi atau mutu kerja pembinaan yang tidak memuaskan.
Bagaimanapun, mahkamah menolak dakwaan pembeli bahawa kediaman mereka tidak selamat dari segi struktur atau tidak sesuai untuk didiami.
Hakim Sumathi berkata, pembeli gagal mengemukakan bukti teknikal yang cukup kukuh dan boleh dipercayai untuk membuktikan konkrit yang digunakan tidak memenuhi spesifikasi Gred C25.
Gred C25 merujuk kepada konkrit yang direka untuk menahan kekuatan mampatan sebanyak 25 megapascal (MPa), yang lazim digunakan bagi komponen struktur seperti rasuk, tiang dan papak lantai.
Mahkamah turut menolak tuntutan pembeli untuk membatalkan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) yang dikeluarkan bagi hartanah berkenaan.
Sebagai sebahagian daripada keputusan itu, Astana diperintahkan membayar kos munasabah bagi membaiki kebocoran air berulang serta kerosakan berkaitan pada kediaman yang terjejas.
Jumlah bayaran akan ditentukan berdasarkan sebut harga kerja-kerja pembaikan yang dikemukakan sepanjang perbicaraan, sebelum perintah mahkamah difailkan.
Mahkamah turut memerintahkan Astana membayar kos guaman sebanyak RM35,000 kepada pembeli.
Bagaimanapun, tuntutan lain termasuk bayaran balik harga pembelian hartanah, yuran pakar, ganti rugi berasingan atas kecuaian, ganti rugi am bagi tekanan emosi, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan ditolak. - DagangNews.com





