
KUALA LUMPUR: Penyanyi, Adira Suhaimi memilih untuk tidak memanjangkan polemik berhubung dakwaan dirinya tidak membawa keempat-empat anak menghadiri majlis resepsi bekas suaminya, Datuk Red yang berlangsung di ibu negara baru-baru ini.
Menurut Adira, perkara tersebut bukan lagi keutamaannya kerana ketika ini fokusnya hanya terarah kepada kerjaya dan tanggungjawab membesarkan anak-anak.
“Sebenarnya saya kini lebih fokus kepada kerjaya untuk menjaga anak-anak. Itulah fokus utama saya sekarang. Kalau boleh, saya tak mahu melayan isu-isu seperti ini.
“Saya rasa ia tidak penting dan tidak perlu pun untuk orang tahu sebabnya. Sebagai seorang ibu, saya tahu apa yang terbaik untuk anak-anak saya. Itu sahaja. Saya tahu apa yang terbaik untuk anak-anak saya,” katanya.
Adira berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia selepas program Meletop di Astro Bukit Jalil, semalam.
Terdahulu, isu tersebut menjadi perhatian ramai selepas bekas suaminya memaklumkan Adira tidak membawa anak-anak ke majlis resepsinya.
Bagaimanapun, Datuk Red turut menjelaskan dia memahami kemungkinan penyanyi itu mempunyai komitmen kerja.
Mengulas lanjut, Adira berkata dia berharap isu berkenaan tidak lagi terus diperkatakan sehingga menenggelamkan perjalanan kerjayanya sebagai anak seni.
Dalam masa sama, penyanyi Sayang Orang Sama itu turut berharap semua pihak menghormati kehidupan peribadinya dan berhenti mengaitkan namanya dengan perkara-perkara yang menurutnya tidak lagi wajar dibangkitkan.
“Saya mengharapkan agar saya dapat fokus kepada kerjaya saya dan tanggungjawab saya sebagai seorang ibu untuk membesarkan empat amanah daripada Allah dalam apa jua keadaan. Namun, saya mengharapkan keadaan yang tidak huru-hara seperti ini.
“Saya sendiri tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan dan tidak pernah mengusik sesiapa. Saya harap pihak sana pun sudahlah. Janganlah mengusik saya kerana saya tidak pernah mengusik sesiapa.
“Masing-masing sudah ada kehidupan peribadi masing-masing. Fokus saya adalah untuk membesarkan anak-anak dan juga memberi tumpuan kepada kerjaya kerana kerjaya saya adalah yang utama.
“Itulah sumber rezeki saya untuk mencari nafkah dan menanggung empat orang anak saya tanpa menyusahkan sesiapa.
“Berilah saya ruang dan peluang untuk fokus kepada kerjaya serta membesarkan anak-anak dengan tenang tanpa isu-isu yang pada saya sebenarnya sangat tidak wajar dan tidak penting,” katanya.
The post Tidak bawa anak ke resepsi bekas suami, janganlah mengusik saya – Adira Suhaimi appeared first on Utusan Malaysia.






