
MELAKA, 24 APRIL: Pemandu bas persiaran yang dirakam video melakukan provokasi dan menunjuk isyarat lucah kepada pemandu kereta semalam diminta tampil membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata video berkenaan yang dimuat naik di Facebook, tular dan dikesan pihaknya jam 2 petang tadi.
"Mangsa merupakan seorang lelaki tempatan berusia 61 tahun yang memandu kereta Proton Persona telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada 11.38 pagi semalam.
"Siasatan awal mendapati mangsa dari arah Plaza Mahkota menghala ke Kota Laksamana dihimpit sebuah bas persiaran di kawasan selekoh berhampiran sebuah hospital swasta hingga hampir melanggar kon jalan," katanya dalam kenyataan di sini malam ini.
Beliau berkata selepas membuat pusingan U, bas berkenaan sekali lagi bertindak memotong dan menghimpit kereta mangsa di Jambatan Syed Abdul Aziz hingga menyebabkan kenderaan dipandu mangsa hampir melanggar tembok.
Christopher berkata mangsa kemudian bertindak mengekori bas berkenaan hingga kenderaan itu berhenti di bahu jalan di kawasan Kota Laksamana dan anak mangsa turun bagi mendapatkan maklumat berkaitan pamandu bas terbabit.
Bagaimanapun, beliau berkata pemandu bas yang dipercayai lelaki tempatan bertindak agresif dan cuba memukul serta mengajak anak pengadu bergaduh.
Beliau berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang melihat kejadian itu diminta menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
"Polis memandang serius kejadian tersebut kerana melibatkan pemanduan secara berbahaya serta perlakuan agresif yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.
"Orang ramai juga dinasihatkan sentiasa mematuhi peraturan jalan raya, mengawal emosi ketika memandu serta mengelakkan sebarang tindakan provokasi yang boleh mencetuskan kejadian tidak diingini," katanya.
