MELAKA - 'Abang bas' tular lagi apabila kali ini didakwa melakukan provokasi terhadap pengguna jalan raya termasuk menunjukkan isyarat lucah ‘jari tengah’ dalam kejadian di Kota Laksamana, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, video kejadian tular di media sosial disusuli satu laporan dibuat oleh seorang lelaki tempatan berusia 61 tahun dipercayai berlaku jam 11.38 pagi.
“Siasatan awal mendapati pengadu yang memandu kereta Proton Persona dari arah Plaza Mahkota menuju ke Kota Laksamana telah dihimpit oleh sebuah bas berhampiran kawasan selekoh dekat Mahkota Medical Centre sehingga hampir melanggar kon jalan.
“Selepas membuat pusingan U, bas terbabit sekali lagi bertindak memotong dan menghimpit kenderaan pengadu di jejambat Syed Abdul Aziz sehingga hampir melanggar tembok,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Katanya, pengadu kemudian bertindak mengekori bas tersebut sebelum berhenti di bahu jalan di kawasan Kota Laksamana.
“Anak pengadu telah turun untuk mendapatkan maklumat namun pemandu bas berkenaan bertindak agresif dengan cuba memukul serta mengajak bergaduh.
“Polis memandang serius kejadian tersebut kerana melibatkan pemanduan berbahaya serta perlakuan agresif yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain,” tambah beliau.
Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat ke balai polis berhampiran.
Pada masa sama beliau menasihati orang ramai sentiasa mematuhi peraturan jalan raya, mengawal emosi ketika memandu serta mengelakkan sebarang tindakan provokasi yang boleh mencetuskan kejadian tidak diingini.
Dalam pada itu, kejadian terbaru itu merupakan insiden kali ketiga dalam tempoh sebulan babit pemandu bas tular berlaku di Melaka.
Insiden pertama membabitkan pemandu bas ekspres meriba kekasih ketika membawa 27 penumpang dalam kejadian di susur keluar Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bemban, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, dalam daerah Jasin.
Kejadian dilapor berlaku pada 12 April lalu ketika bas itu dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) menuju ke Kulai, Johor.
Kejadian kedua pula membabitkan seorang pemandu bas berusia 53 tahun yang membawa 15 penumpang, memandu dalam keadaan lalok dan disahkan positif syabu dalam kejadian pada 16 April lalu ketika dalam perjalanan dari Ipoh, Perak ke Johor Bahru.
Kedua-dua kes telah diambil tindakan pada 17 April lalu, abang bas dan kekasih yang diriba ke penjara selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memandu secara berbahaya di Mahkamah Majistret Jasin.
Pemandu bas tersebut, Arif Fahmi Abd Salam, 36, dijatuhi hukuman penjara setahun, manakala Nur Adila Najwa Ilham Ameerrullah, 21, dipenjara enam bulan selain masing-masing dikenakan denda RM5,000.
Sementara itu pada Jumaat, Mahkamah Majistret Alor Gajah turut menjatuhkan hukuman penjara tujuh bulan serta denda RM8,000 terhadap pemandu lalok, Mohd Tamrin Ibrahim, 53, selepas mengaku bersalah memandu secara berbahaya.
