Pemandu Bas Tular Pandu Sebelah Tangan Positif Dadah & Direman 4 Hari

LocalPolitics
21 Apr 2026 • 12:51 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Image from: Pemandu Bas Tular Pandu Sebelah Tangan Positif Dadah & Direman 4 Hari

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Sebelum ini tular satu video di media sosial memaparkan seorang pemandu bas yang didakwa memandu dengan hanya sebelah tangan berada pada stereng.

Susulan daripada penularan video itu, polis kemudian mengesan pemandu berkenaan. Ini kerana tindakan pemandu terbabit boleh menjejaskan kawalan kenderaan dan mengganggu tumpuan pemandu serta membahayakan keselamatan penumpang dan juga pengguna jalan raya lain.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

BACA ARTIKEL BERKAITAN: Polis Buru Lelaki Pandu Bas Ekspres Sebelah Tangan [Video]

Pemandu bas pandu dalam keadaan berbahaya positif dadah

Terbaharu, pemandu bas berkenaan disahkan positif dadah jenis methamphetamine.

Menurut Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar, pemandu bas yang berusia 53 tahun berkenaan didapati positif bahan terlarang terbabit sebaik ujian saringan air kencing dilakukan pada 20 April.

Jelas beliau, siasatan awal dilakukan mendapati insiden dipercayai berlaku pada 15 April yang lalu sekitar jam 3.50 pagi semasa pemandu bas berkenaan sedang membawa penumpang dari Ipoh, Perak menuju ke Johor Bahru.

“Video tular berkaitan kejadian itu dikesan 16 April lalu kira-kira jam 1.05 tengah hari.

“Hasil maklumat dan siasatan dijalankan, suspek tampil menyerah diri di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Alor Gajah jam 12.10 tengah hari tadi (20 April) bagi membantu siasatan,” jelasnya, lapor Berita Harian.

Pemandu bas ada pengalaman 10 tahun direman 4 hari

Ekoran itu, lelaki yang mempunyai pengalaman memandu bas selama 10 tahun itu kemudiannya dibawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah sebelum permohonan reman dibuat di Mahkamah Majistret Alor Gajah pada hari ini (21 April).

Dalam pada itu Mahkamah Majistret Alor Gajah, Melaka telah membenarkan permohonan polis menahan reman pemandu bas berkenaan.

Keputusan itu dilakukan Majistret Dr Teoh Shu Yee dengan membenarkan lelaki berstatus duda itu direman selama empat hari sehingga Jumaat (24 April) untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, lapor Berita Harian.