Pemandu Bas Langgar Pokok Di UPM Kena Penjara Seminggu, Didenda RM8,000

LocalPolitics
5 Aug 2025 • 3:16 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Pemandu bas yang terbabit dalam kemalangan di Universiti Putra Malaysia (UPM) sehingga menyebabkan seorang guru dan tiga murid cedera ringan, dijatuhi hukuman penjara seminggu dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini.

Pemandu memandu secara berbahaya

Menurut laporan Malaysia Gazette. tertuduh, Mohamad Hamir Masruddin, 44, membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Nur Natasya Mohtarudin.

image is not available

Foto: Sinar Harian

Mengikut pertuduhan, insiden berlaku pada Sabtu lalu kira-kira jam 12.18 tengah hari di Jalan Persiaran, daerah Petaling.

Pemandu tersebut didakwa memandu secara berbahaya tanpa mengambil kira keadaan jalan, jenis laluan serta kesesakan trafik, sekali gus membahayakan keselamatan orang awam.

Selain hukuman penjara dan denda, lesen memandunya turut digantung selama lima tahun.

Dalam prosiding, tertuduh hadir tanpa diwakili peguam, manakala pihak pendakwaan dikendalikan oleh Nurain Syafiqeen Mohd Rozi.

Mohamad Hamir turut merayu agar hukuman diringankan kerana tidak mempunyai pekerjaan tetap dan perlu menanggung ibu yang sedang sakit di kampung.

image is not available

Foto: Sinar Harian

“Saya hanya kerja sambilan. Kalau ada kerja, baru ada gaji. Ibu di kampung pun sakit,” katanya.

Difahamkan, sekiranya gagal membayar denda, tertuduh boleh dipenjara sehingga tujuh bulan.

Kemalangan pada Jumaat lalu melibatkan bas persiaran dipandu Mohamad Hamir yang membawa lima guru pengiring dan 30 murid sebelum terbabas lalu melanggar sebatang pokok di kawasan UPM.

Rakaman dashcam kejadian itu tular di media sosial dan mendapat perhatian ramai.

Sumber: Malaysia Gazette (Shawaliah Hadir)