Pemandu bas langgar pokok di UPM mengaku salah, dipenjara seminggu

5 Aug 2025 • 4:40 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari dan denda RM8,000 ke atas pemandu bas yang terlibat dalam kemalangan ketika membawa rombongan kanak-kanak tadika di Jalan Persiaran Universiti 1, Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang.

Majistret Nur Natasya Moharudin menjatuhkan hukuman ke atas Mohamad Hamir Masruddin, 44, selepas tertuduh mengaku bersalah.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara bermula Selasa dan lesen memandunya digantung selama lima tahun. Jika gagal membayar denda, dia boleh dipenjara sehingga tujuh bulan, lapor Sinar Harian.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohamad Hamir didakwa memandu tanpa mengambil kira semua keadaan termasuk jenis, keadaan dan keluasan jalan serta tahap kesesakan lalu lintas yang ada atau mungkin ada di laluan berkenaan, dengan cara yang membahayakan orang awam.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Persiaran di UPM pada jam 12.18 tengah hari, 2 Ogos lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000, serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang daripada lima tahun, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan atas alasan tiada pekerjaan tetap dan menanggung ibunya yang sakit di kampung.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nurain Syafiqeen Mohd Rozi mencadangkan hukuman setimpal dikenakan kerana memandu dalam keadaan cuai dan berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan terhadap empat mangsa.

Media sebelum ini melaporkan tiga murid dan seorang guru cedera selepas bas yang mereka naiki terbabas sebelum melanggar sebatang pokok, dalam kejadian pada jam 12.18 tengah hari, Jumaat lalu.

Dalam kejadian itu, mereka dalam perjalanan ke dari sebuah kilang coklat menuju ke MAEPS Serdang. Klip video kemalangan itu kini tular di media sosial.

“Bagaimanapun siasatan mendapati dia tidak berada di bawah pengaruh dadah atau alkohol,’’ katanya. - 5 Ogos, 2025