
WASHINGTON: Seorang pemandu bas sekolah yang disayangi ramai dipecat selepas membenarkan seorang pelajar keluar dari kenderaan itu demi menyelamatkan seekor anak kucing yang cedera di Maryland.
Cynthia Morgan, 67, dipecat daripada tugasnya sebagai pemandu bas sekolah minggu lalu selepas beliau memberhentikan kenderaan tersebut untuk membolehkan seorang murid sekolah rendah mengambil anak kucing yang cedera di tepi jalan luar bandar.
Morgan telah berkhidmat sebagai pemandu bas sekolah dalam sistem Sekolah Awam Harford County di timur laut Maryland selama 11 tahun.
Tindakan pemecatan itu membangkitkan kemarahan ibu bapa yang kemudian memulakan petisyen bagi mendesak agar Morgan diserap semula bertugas dengan menyifatkan keputusan tersebut sebagai tidak adil dan mengabaikan rekod perkhidmatan bersih beliau.
Petisyen berkenaan telah berjaya mengumpul lebih 7,500 tandatangan sebagai tanda sokongan. Ibu bapa menceritakan bahawa Morgan bukan sekadar pemandu bas, malah seorang yang sangat prihatin dan sering membeli kelengkapan sekolah serta hadiah hari jadi untuk setiap kanak-kanak di dalam bas menggunakan wang sendiri.
Sementara itu, anak kucing yang diselamatkan tersebut telah dibawa ke Pusat Veterinar Jarrettsville. Pihak pusat veterinar memaklumkan bahawa anak kucing itu kini berada dalam keadaan baik selain mengalami sedikit kecederaan pada bahagian hidungnya dan bakal diletakkan untuk proses pengambilan haiwan tidak lama lagi oleh penjaga baharu. – AGENSI
The post Pemandu bas sekolah dipecat selepas biar murid selamatkan anak kucing cedera appeared first on Utusan Malaysia.





