ALOR GAJAH - Seorang pemandu bas ekspres yang tular kerana memandu dalam keadaan berbahaya disahkan positif dadah jenis syabu.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, lelaki tempatan berusia 53 tahun itu ditahan selepas menyerah diri bagi membantu siasatan.
Menurutnya, suspek hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Alor Gajah jam 12.10 tengah hari pada Isnin.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine (syabu).
“Tangkapan telah dilaksanakan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan polis sedang mengesan pemandu bas berkenaan susulan tindakannya memandu secara berbahaya.
Melalui video tular berdurasi satu minit 20 saat itu, suspek seperti ‘lalok’, memandu dalam keadaan duduk menyandar ke belakang dan hanya memegang stereng menggunakan sebelah tangan ketika kenderaan sedang bergerak pada waktu malam.
Ahmad berkata, siasatan awal mendapati kejadian berkenaan dipercayai berlaku pada 15 April sekitar jam 3.50 pagi ketika bas ekspres yang membawa 13 penumpang itu dalam perjalanan dari Ipoh, Perak menuju ke Johor Bahru, sementara video kejadian tersebut mula tular pada jam 1.05 petang, sehari selepas kejadian.
“Suspek yang mempunyai pengalaman lebih 10 tahun sebagai pemandu bas didapati memandu dalam keadaan tidak selamat serta tidak memberi tumpuan sepenuhnya semasa mengendalikan kenderaan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Beliau berkata, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Alor Gajah pada Selasa bagi membantu siasatan lanjut.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pihak polis memandang serius sebarang perlakuan pemanduan berbahaya yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya, khususnya melibatkan pengangkutan awam.






