Pemandu CRV maut tersepit nahas dengan lori

22 Mar 2023 • 11:53 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Keadaan kemalangan yang melibatkan sebuah Honda CRV dan lori berdekatan klinik Padang Luas pada Rabu. - Foto JBPM

BERA - Seorang lelaki maut akibat tersepit dalam kemalangan melibatkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV dan lori berdekatan klinik Padang Luas di sini pada Rabu.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 8.41 pagi.

Menurutnya, sembilan anggota dan seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Triang bersama dua jentera dikerahkan ke tempat kejadian.

"Terdapat seorang lelaki dewasa iaitu pemandu SUV tersepit dalam kenderaan tersebut.

"Pasukan membuat operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan menyelamat," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Zulfadli berkata, mangsa berjaya dikeluarkan dan disahkan meninggal dunia sebelum dihantar oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke hospital.