Pemandu didakwa cabul 2 kanak-kanak perempuan

LocalPolitics
14 Mar 2025 • 1:57 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Cynthia D Baga

Kota Kinabalu: Seorang pemandu berusia 53 tahun yang diberikan kepercayaan untuk menghantar dan mengambil dua kanak-kanak ke sebuah tadika, didakwa menyentuh bahagian sulit kanak-kanak terbabit, masing-masing.

Rusli Japar mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan, atas tiga pertuduhan dihadapinya pada Khamis.

Bagaimanapun, hukuman terhadap Rusli ditangguhkan kepada 25 Mac kerana mahkamah dimaklumkan oleh pihak pendakwaan bahawa fakta kes belum tersedia dan terdapat beberapa dokumen perlu disemak.

Sementara menunggu tarikh itu, Rusli diperintah direman lanjut susulan bantahan daripada pihak pendakwaan.

Terdahulu, pihak pendakwaan membantah Rusli diikat jamin atas alasan dia tinggal di kawasan sama dengan mangsa.

Bagi pertuduhan pertama, Rusli didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berusia lima tahun itu dengan menyentuh bahagian sulitnya antara Mac dan Disember 2024 di dalam kereta yang diletakkan di sebuah kampung di Tuaran.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengulangi kesalahan sama terhadap kanak-kanak sama di sebuah rumah di kampung yang sama di Tuaran.

Atas pertuduhan ketiga, Rusli didakwa mengulangi kesalahan sama terhadap seorang lagi kanak-kanak perempuan juga berusia lima tahun dengan menyentuh bahagian sulitnya pada 2022 di dalam kereta yang turut diletakkan di kampung sama di Tuaran.

Kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 itu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Fazriel Fardiansyah melakukan pendakwaan manakala Rusli tidak diwakili.