
SIBU: Seorang pemandu e-panggilan kerugian RM78,950.65 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan ‘phone scam’ Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata dalam laporan yang diterima Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu semalam, lelaki berusia 40-an itu mendakwa beliau telah menerima panggilan daripada seorang individu yang memperkenalkan dirinya sebagai pegawai polis di Bukit Aman.
Beliau berkata suspek memberitahu bahawa akaun bank mangsa telah digunakan oleh orang yang tidak dikenali untuk jenayah pengubahan wang haram dan mangsa kemudian diminta menyerahkan maklumat peribadi serta perbankannya untuk tujuan semakan.
“Suspek memberitahu akaun mangsa didapati terlibat dalam kes jenayah dan memintanya membuat pindahan wang di dalam akaun itu ke satu akaun lain.
“Suspek juga berjanji akan memulangkan wang itu semula selepas kes selesai,” katanya.
Zulkipli berkata mangsa yang bimbang dan takut telah melakukan tiga transaksi pemindahan wang ke tiga akaun bank tempatan yang tidak diketahui pada 24 dan 25 Julai berjumlah RM78,950.65.
Mangsa kemudian curiga dan sedar dirinya telah diperdaya lalu membuat laporan polis.
Beliau sehubungan itu menasihatkan orang ramai agar tidak mudah cemas apabila menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali yang mendakwa diri mereka daripada mana-mana jabatan kerajaan atau institusi kewangan dan segera tamatkan panggilan telefon tersebut.
Katanya orang ramai boleh menyemak dengan pihak berwajib melalui nombor telefon yang sah atau hadir sendiri ke jabatan atau institusi berkenaan untuk mendapatkan pengesahan ataupun membuat semakan nombor telefon dan akaun bank suspek melalui aplikasi Check Scammer CCID atau laman http://semakmule.rmp.gov.my.
Maklumat juga boleh disalurkan menerusi CCID Scam Response Centre menerusi talian 03-26101559/03-26101599 atau CCID Infoline di talian 013-2111222 (WhatsApp/SMS). -Bernama
