Pemandu Ferrari & Perodua Aruz Tular Bergaduh Sudah Berdamai, Enggan Panjangkan Perselisihan – Polis

10 Aug 2026 • 10:48 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Pemandu Ferrari & Perodua Aruz Tular Bergaduh Sudah Berdamai, Enggan Panjangkan Perselisihan – Polis

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Pada hujung minggu lalu, tular di media sosial video pergaduhan melibatkan pemandu sebuah Ferrari dan Perodua Aruz dalam kejadian di Kilometer 276 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan.

Menerusi video tular, dapat dilihat dua individu terbabit bergaduh dengan salah seorang daripadanya turut dipukul sebelum pergaduhan itu dileraikan oleh beberapa pengguna jalan raya lain.

Ekoran itu, polis menerima laporan berhubung kejadian berkenaan pada 8 Ogos jam 6.40 petang dan mengesan pemandu Perodua Aruz bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.

Kedua-Dua Pemandu Pilih Jalan Berdamai, Polis Masih Teruskan Siasatan

Terbaharu, kedua-dua pemandu Ferrari dan Perodua Aruz yang terlibat dalam insiden terbabit dipercayai sudah berdamai.

Walau bagaimanapun menurut Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya, pihaknya masih meneruskan siasatan mengenai kes yang berlaku kira-kira jam 11 pagi pada 8 Ogos itu.

“Berdasarkan perkembangan terkini, kedua-dua pihak pemandu Ferrari berusia 40 tahun dan pemandu Perodua Aruz berumur 35 tahun terbabit telah mengadakan pertemuan serta perbincangan secara persendirian.

“Ia dilakukan atas kehendak mereka sendiri tanpa pembabitan atau campur tangan pihak polis,” katanya.

Kedua-Dua Pihak Akan Adakan Sidang Media Berhubung Insiden Berkenaan

Jelas Johari, kedua-dua pihak didakwa telah mencapai persetujuan bersama untuk menyelesaikan perselisihan faham secara baik dan enggan memanjangkan perkara berkenaan.

“Kedua-dua pihak turut bersetuju atas kehendak sendiri untuk membuat siaran media bersama bagi menjelaskan penyelesaian yang dicapai, susulan rakaman kejadian yang tular dalam media sosial,” jelasnya.

Tambah Johari, meskipun pemandu Ferrari dan Aruz telah mencapai persetujuan yang baik namun perkara itu tidak menjejaskan siasatan polis.

“Siasatan akan diterus dan dilengkapkan berdasarkan keterangan serta bukti yang diperoleh untuk tindakan lanjut.

“Kedua-dua penama dibebaskan dengan jaminan polis dan masing-masing dijamin oleh seorang penjamin,” ujarnya.

Pemandu Ferrari Harap Pemandu Perodua Aruz Berubah, Fikirkan Keluarga

Sebelum ini, Pemandu Ferrari yang juga merupakan ahli perniagaan, Tiang How Soon berharap agar pemandu Aruz itu berubah dan memikirkan keluarga sebelum mengambil tindakan yang boleh memakan diri sendiri.

Jelas Tiang yang berusia 40 tahun, dia tidak berniat untuk menimbulkan kekecohan apatah lagi insiden berkenaan berlaku tanpa melibatkan pelanggaran antara kedua-dua kenderaan.

Malah Tiang berpendapat, ia boleh diselesaikan secara baik tanpa perlu melibatkan keganasan fizikal.

Tambah Tiang, insiden itu juga menyebabkan anaknya yang berusia empat tahun ketakutan malah dia percaya anak penyerang terbabit juga mempunyai perasaan sama apabila melihat kejadian berkenaan.

“Saya tengok dalam kereta dia pun ada keluarga, dia pun ada bawa anak kecil. Jadi sepatutnya dia boleh berbincang dengan saya. Kalau kes kecil macam ini dia pukul orang sampai mahu masuk penjara berbaloi kah? Kasihan pada keluarga dia nanti.

“Saya pun tak boleh nak komen banyak sebab polis sedang jalankan siasatan. Jadi sebagai seorang bapa, orang yang ada keluarga jadi saya pun tak mahu keluarga dia bermasalah nanti,” katanya yang dipetik daripada Berita Harian.

Pemandu Ferrari Kongsi Kisah Kejadian Sebenar Dari Sisinya

Menceritakan detik kejadian berkenaan, Tiong menjelaskan dia bersama anak dan isteri sedang dalam perjalanan ke Melaka serta menyertai konvoi namun mereka sekeluarga ketinggalan di belakang selepas keluar dari stesen minyak.

Kongsi Tiong, dia sedang memandu pada kelajuan 120 kilometer per jam bertindak menukar lorong dari kanan ke kiri untuk mengelak kenderaan yang berhenti mengejut di bahagian hadapan.

“Saya cuba brek tetapi saya risau tidak sempat berhenti dan melanggar kereta depan, jadi untuk elak kemalangan lagi besar sebab itu saya tukar lorong.

“Saya tengok cermin sisi saya nampak Aruz itu ada jarak lebih kurang dua ke tiga kereta lagi. Jadi saya berhenti di lorong tengah dan kereta dia sampai, tak ada kemalangan pun tetapi dia marah-marah, dia jerit dekat bahagian penumpang saya.

“Saya cuba jelaskan ada kereta berhenti secara cemas sebab itu saya elak tetapi dia terus marah.

“Dia marah dan mencarut, saya minta dia jangan begitu kerana saya ada anak kecil, dia sudah takut. Jadi saya turun dari kereta dan ketika itu ada beberapa orang lain yang cuba bantu tetapi tiba-tiba dia pukul saya. Dia sepak saya, dia tumbuk muka saya,” jelasnya.

Terdahulu, tular insiden pergaduhan tersebut yang dikatakan menjadi punca kesesakan jalan di Lebuh Raya PLUS arah selatan.

Ini berikutan terdapat pemandu yang memperlahankan kenderaan untuk melihat apa yang sedang berlaku.

Malah, perkara sama turut dilakukan oleh pemandu dari arah bertentangan menyebabkan kesesakan di kedua-dua arah.

View on Threads

Baca Artikel Berkaitan: Tular Pemandu Vellfire Plat Singapura Bergaduh Di JB, Anak Tampil Kongsi Apa Yang Terjadi [Video]

Baca Artikel Berkaitan: Polis Siasat Dua Pemandu Bergaduh Sambil Rakam Video Di Lebuh Raya [Video]

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved