
PETALING JAYA – Pergerakan Pemuda UMNO menawarkan bantuan guaman secara percuma kepada pemandu Perodua Aruz yang terlibat dalam pertelingkahan dengan pemandu sebuah kereta Ferrari yang tular, baru-baru ini.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, pihaknya mahu memastikan keadilan ditegakkan dan tidak hanya mendengar penjelasan daripada satu pihak.
Menurut beliau, tindakan itu diambil susulan satu kenyataan oleh pemandu Ferrari yang mendakwa dirinya tidak bersalah dalam kejadian tersebut.
“Saya dengar-dengar pemandu Ferrari ini nak bawa abang pemandu Aruz ini ke mahkamah.
“Jadi saya sokong tindakan tersebut dan bagi pihak Pergerakan Pemuda UMNO, kita akan berikan perkhidmatan peguam secara percuma kepada abang pemandu Aruz ini supaya kita akan minta dan tuntut keadilan di mahkamah nanti,” katanya menerusi satu video yang dimuat naik di media sosial, hari ini.
Dr. Akmal berkata, pihaknya menyerahkan kepada mahkamah untuk menentukan pihak yang bersalah atau tidak bersalah dalam insiden berkenaan.
“Biar mahkamah yang putuskan sama ada siapa yang bersalah, siapa yang tidak bersalah.
“Jadi kepada abang pemandu Aruz ataupun siapa yang kenal dia, tolong kontak saya. Saya nak tuntutkan keadilan untuk abang pemandu Aruz,” katanya.
Beliau berkata, keadilan tidak seharusnya hanya memihak kepada individu yang mempunyai kemampuan kewangan.
“Saya rasa keadilan bukan hanya tertakluk kepada siapa yang banyak duit, tapi keadilan kita tertakluk kepada siapa yang benar-benar berani, siapa yang benar-benar tidak bersalah dalam hal ini. Dan biar mahkamah yang akan tentukan nanti,” katanya.
Dr. Akmal turut memberi jaminan bahawa Pergerakan Pemuda UMNO akan bersama pemandu Aruz tersebut dalam usaha mendapatkan keadilan sekiranya perkara itu dibawa ke mahkamah.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, dua pengguna Lebuh Raya Utara-Selatan yang terbabit dalam perselisihan faham dan tular di media sosial sudah berdamai, namun polis tetap meneruskan siasatan berhubung insiden berkenaan.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya dilaporkan berkata, persetujuan kedua-dua pihak untuk menyelesaikan perkara itu secara baik tidak menjejaskan proses siasatan yang sedang dijalankan.
Pada Sabtu lalu, Johari memaklumkan polis sedang mengesan pemandu Perodua Aruz yang disyaki memukul pemandu Ferrari dalam pergaduhan di tengah lebuh raya berkenaan.
Menurut beliau, polis menerima laporan berhubung insiden itu pada pukul 6.40 petang daripada salah seorang individu yang terbabit. – KOSMO! ONLINE
The post Pemuda UMNO tawar bantuan guaman percuma kepada pemandu Aruz appeared first on Kosmo Digital.





