Insiden Gaduh Di Jalan Raya Perlu Dielak, Fikir Nasib Keluarga - Pemandu Ferrari

LocalCars
9 Aug 2026 • 8:47 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Insiden Gaduh Di Jalan Raya Perlu Dielak, Fikir Nasib Keluarga - Pemandu Ferrari

KUALA LUMPUR - Pemandu Ferrari yang didakwa diserang seorang lelaki dalam satu insiden membabitkan sebuah Perodua Aruz di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), berharap kejadian berkenaan dapat dijadikan pengajaran dan meminta penyerangnya memikirkan kesan tindakan itu terhadap keluarga.

Ahli perniagaan, Tiang How Soon, 40, berkata kejadian itu sebenarnya tidak melibatkan sebarang pelanggaran antara kedua-dua kenderaan, dan sepatutnya boleh diselesaikan menerusi perbincangan tanpa perlu bertukar menjadi kekerasan fizikal.

Menurutnya, kejadian berkenaan turut menyebabkan anaknya yang berusia empat tahun ketakutan, malah beliau percaya anak pemandu Aruz yang berada di dalam kenderaan ketika kejadian juga mungkin terkesan.

“Saya nampak dia juga bersama keluarga dan anak kecil dalam kereta. Dia boleh saja bercakap dengan saya. Untuk perkara kecil seperti ini, kalau seseorang akhirnya dipenjarakan kerana menyerang orang lain, berbaloi ke? Keluarganya juga akan menanggung akibat.

“Saya tidak boleh komen banyak kerana polis masih menjalankan siasatan. Sebagai seorang bapa dan orang yang mempunyai keluarga, saya tidak mahu perkara ini menimbulkan masalah kepada keluarganya,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Biro Aduan Awam DAPSY Selangor, hari ini.

Tiang berkata, beliau dalam perjalanan ke Melaka bersama isteri dan anaknya sebagai sebahagian daripada konvoi sebelum mereka ketinggalan selepas berhenti di sebuah stesen minyak.

Beliau mendakwa ketika kejadian, keretanya dipandu pada kelajuan kira-kira 120 kilometer sejam sebelum beliau menukar laluan dari lorong kanan ke lorong tengah selepas sebuah kenderaan di hadapannya berhenti secara mengejut.

“Saya cuba membrek tetapi bimbang tidak sempat berhenti dan melanggar kenderaan di hadapan. Untuk mengelakkan kemalangan yang lebih besar, saya menukar lorong.

“Saya memeriksa cermin sisi dan melihat Aruz itu masih kira-kira dua hingga tiga jarak kereta di belakang.

“Saya berhenti di lorong tengah dan apabila keretanya sampai, tiada kemalangan berlaku. Tetapi dia mula marah dan menjerit dari bahagian penumpang. Saya cuba menjelaskan bahawa saya menukar lorong kerana ada kenderaan berhenti secara mengejut, namun dia terus marah,” katanya.

Tiang berkata beliau turut meminta lelaki berkenaan bertenang kerana anak kecilnya berada di dalam kereta dan ketakutan. 

Bagaimanapun tambahnya, keadaan didakwa semakin tegang selepas beliau keluar dari kenderaan untuk memberikan penjelasan.

“Dia marah dan mengeluarkan kata-kata kesat. Saya beritahu supaya dia tidak bersikap begitu kerana saya membawa anak dalam kereta.

“Apabila saya keluar, ada beberapa orang cuba membantu, tetapi dia tiba-tiba menyerang saya. Dia menendang dan menumbuk muka saya,” dakwanya.

Kejadian berkenaan dirakam dalam video dan tersebar secara meluas di media sosial, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi orang ramai, termasuk kritikan terhadap Tiang serta komuniti peminat kereta.

Tiang berkata beliau tampil memberikan penjelasan bagi menafikan dakwaan bahawa kejadian itu berkait dengan perlumbaan jalanan atau pemanduan secara berbahaya.

Sebaliknya, beliau menegaskan tindakannya menukar lorong adalah bagi mengelakkan kemalangan yang lebih serius selepas sebuah kenderaan di hadapannya berhenti secara mengejut.

Beliau turut mendakwa sudah cuba menyelesaikan perkara itu menerusi perbincangan, namun keadaan menjadi sukar apabila pemandu berkenaan didakwa gagal mengawal emosi dan bertindak agresif.

Sebelum ini, polis memaklumkan sedang mengesan pemandu Perodua Aruz yang dipercayai terbabit dalam pergaduhan berkenaan selepas video kejadian tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya, dilaporkan berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 6.40 petang daripada salah seorang pemandu yang terbabit.

Kes masih dalam siasatan polis.

Rakaman video kejadian boleh disaksikan menerusi pautan https://www.facebook.com/share/r/1DKpXZb676/?mibextid=wwXIfr - Getaran, 9 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved