Pemandu Ghana direman 7 hari kes langgar lari keluarga sarjan polis

5 May 2026 • 3:53 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pemandu Ghana direman 7 hari kes langgar lari keluarga sarjan polis
Suspek (kanan) dibawa ke Mahkamah Sesyen Alor Gajah bagi permohonan reman pada Selasa.

ALOR GAJAH - Seorang lelaki warga Ghana direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes kemalangan melibatkan dua kenderaan selepas disyaki terlibat dalam kejadian langgar lari di Kilometer 221.6 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara pada 3 Mac lalu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Melaka, Superintendan Muhammad Zaki Ramat berkata, suspek berusia 32 tahun itu ditahan selepas dipercayai melanggar sebuah kereta yang dinaiki enam sekeluarga, termasuk seorang sarjan polis.

Menurutnya, kejadian sekitar jam 11.30 pagi itu melibatkan sebuah Perodua Myvi dan Honda City yang dipandu suspek.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan sedang bergerak dari arah Melaka menghala ke Kuala Lumpur.

“Setibanya di lokasi kejadian, Honda City tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang Perodua Myvi yang berada di lorong tengah,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Katanya, akibat kemalangan itu, pemandu dan beberapa penumpang Perodua Myvi mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan, manakala pemandu Honda City turut cedera.

Tambahnya, suspek pada awalnya gagal memberi kerjasama apabila tidak tampil membuat laporan polis dan dipercayai melarikan diri selepas kejadian.

“Bagaimanapun, hasil risikan dan siasatan lanjut, suspek berjaya dikesan di sekitar Serdang sebelum ditahan dan dibawa ke Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk tindakan lanjut.

“Semakan mendapati suspek tidak memiliki lesen memandu yang sah. Ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif dadah,” katanya.

Beliau berkata, suspek telah dibawa ke Mahkamah Alor Gajah pada Selasa dan perintah reman selama tujuh hari dibenarkan sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.