
TELUK INTAN: Seorang pekerja swasta lelaki berumur 28 tahun dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan menyebabkan kematian dua remaja perempuan dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Jalan Padang Tembak di sini minggu lalu.
Tertuduh, Alex Robert mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman dan tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan pertama, Alex didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh Nur Dania Arissa Salim, 17, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Setia, Jalan Padang Tembak pada pukul 6.35 petang, 26 Julai lalu.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa membunuh Nur Atikah Abdullah, 16, di lokasi dan waktu yang sama.
Jika sabit kesalahan, warga tempatan yang bekerja di Singapura itu boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara bagi tempoh tiga puluh tahun hingga 40 tahun dan dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali sekiranya tidak dikenakan hukuman gantung.
Selain itu, tertuduh mengaku tidak bersalah atas dua lagi pertuduhan iaitu memandu kenderaan di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kecederaan kepada dua mangsa termasuk pejalan kaki berusia tujuh tahun
Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh yang diwakili peguam bela Koh Shean Wai seperti dipohon Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Ghani
Tarikh 11 September depan ditetapkan sebagai sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat mangsa, laporan toksikologi tertuduh serta laporan perubatan yang berkaitan.
Terdahulu, media melaporkan siasatan awal kemalangan tersebut dipercayai berlaku apabila sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki hilang kawalan ketika cuba memotong kenderaan di depannya.
Insiden itu menyebabkan kereta itu melanggar sebuah motosikal dan sebuah kenderaan lain yang berada di hadapan serta seorang kanak-kanak lelaki yang berada di tepi jalan. – UTUSAN
The post Pemandu kereta pengaruh dadah didakwa sebabkan kematian dua remaja appeared first on Utusan Malaysia.





