
KUANTAN – Seorang suri rumah didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan transaksi palsu dalam urusan pembelian dalam talian seutas rantai emas gantung ‘Butterfly’ bernilai RM8,998 di sebuah kedai emas terkenal di sini baru-baru ini.
Bagaimanapun tertuduh Nurwahidah Khamirrudin,35, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Tuan Ruzuaini Tuan Lah.
Menurut kertas pertuduhan, kira-kira pukul 10.40 pagi pada 22 Julai lalu di sebuah kedai emas di sini tertuduh dengan curangnya telah menipu dan memperdayakan mangsa yang merupakan pekerja kedai emas berkenaan melalui penyerahan satu resit transaksi pembayaran palsu berjumlah RM8,998.
Ini seterusnya mendorong mangsa menyerahkan satu utas rantai tangan emas gantung ‘Butterfly’ seberat 16.21 gram kepada pihak kurier untuk dihantar kepada tertuduh.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan dengan sebatan dan juga dikenakan denda.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nabila Huda Jasmani manakala tertuduh diwakili Peguam Hakimie Ali.
Dalam prosiding, Siti Nabila Huda memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM7,000 manakala Hakimie memohon jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh hanya suri rumah dan suami tertuduh bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan gaji RM1,300 selain menanggung dua anak yang masih bersekolah.
Tuan Ruzaini kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 20 Ogos depan.-KOSMO! ONLINE
The post Suri rumah didakwa tipu beli rantai tangan emas ‘butterfly’ RM8,998 appeared first on Kosmo Digital.





