‘Saya tiada dendam dengan suspek, mahu perjuangkan cucu saya’

30 Jul 2026 • 3:55 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Saya tiada dendam dengan suspek, mahu perjuangkan cucu saya’

HULU LANGAT – Bapa kepada mangsa kemalangan maut membabitkan sebuah Perodua Aruz di Jalan Batu 17, di sini, semalam reda dengan ketentuan yang berlaku dan tidak menyimpan sebarang dendam terhadap suspek yang juga merupakan orang kampung di kawasan itu.

Rahmat Topani, 65, berkata, dia bagaimanapun mahu memberi tumpuan kepada kebajikan dua cucunya yang kini yatim piatu selain memperjuangkan tuntutan insurans demi masa depan mereka.

“Dia (suspek) saya tak berapa kenal tetapi ayah dia saya kenal, memang kenalan lah, orang kampung di sini juga. Semalam semasa kejadian dia ada di sana tetapi ketika itu saya tidak tahu itu anak dia sehingga ada yang beritahu saya kemudian.

“Kalau nak bermusuh nak lawan dia itu tidak ada niat begitu, cuma saya akan cuba perjuangkan tuntutan insurans untuk cucu-cucu saya,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Jawa, Batu 18, di sini hari ini.

Menurutnya, mereka sekeluarga masih terkejut dengan pemergian itu dan selepas lima tahun bersara, beliau kini sedang menyusun semula rutin harian demi menjaga dua cucunya.

“Saya mungkin tak larat nak hantar tiap-tiap hari ke sekolah jadi buat masa ini mahu cari van untuk pergi dan balik sekolah. Mungkin sekolah agama boleh lah saya hantar,” ujarnya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan tiga sekeluarga maut apabila motosikal yang mereka naiki dirempuh Perodua Aruz di Jalan Batu 17, Hulu Langat di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.56 pagi itu, Hafifi Rahman Rahmat, 34, isterinya, Nik Aishah Asilan Nik Mohd. Zamzuri, 32, serta anak bongsu mereka, Muhammad Rafie Hanzal, 3, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Sebelum kejadian, Hafifi dikatakan sempat menghantar dua anaknya lagi yang mahu dikenali sebagai Rifki, 10, dan Mika, 8, ke sekolah pada pagi itu.

Bagaimanapun, mereka ditimpa kemalangan ketika dalam perjalanan menghantar isterinya berniaga nasi kukus berhampiran stesen minyak Petronas di Nanding dan anak bongsunya ke tadika.

Pada masa sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz turut meluangkan masa menziarah dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa.

Johan berkata, beliau mengenali Allahyarham Hafifi Rahman serta isterinya, Nik Aishah Asilansecara peribadi dan menyifatkan pasangan itu sebagai pemurah kerana tidak pernah berkira dalam perniagaan.

“Saya agak terasa kehilangan ini sebab kami rapat juga. Dua bulan lepas masa gotong royong pun ada jumpa mereka, arwah dengan isteri berniaga nasi kukus ayam goreng berempah memang sedap, terkenal di kawasan ini, dan memang kegemaran saya,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan membantu dari aspek pendidikan dan kebajikan kedua-dua anak Allahyarham di samping membantu meringankan beban datuk mereka yang sudah lama bersara.

Katanya, beliau juga akan menghubungi pihak berkaitan untuk membincangkan bentuk bantuan yang diperlukan termasuk bantuan guaman sekiranya perlu. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Saya tiada dendam dengan suspek, mahu perjuangkan cucu saya’ appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved