

TELUK INTAN – Seorang pekerja swasta lelaki berumur 28 tahun dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini atas dua pertuduhan menyebabkan kematian dua remaja perempuan dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Jalan Padang Tembak di sini pada Ahad minggu lalu.
Tertuduh, Alex Robert mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Naidatul Athirah Azman.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan mahkamah daripada tertuduh kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan pertama, Alex pada 26 Julai lalu, pada pukul 6.35 petang berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Setia, Jalan Padang Tembak di Teluk Intan didapati telah membunuh Nur Dania Arissa Salim, 17, menyebabkan dia dakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574).
Bagi pertuduhan kedua, di lokasi dan waktu yang sama, tertuduh didapati telah membunuh Nur Atikah Abdullah, 16.
Dalam prosiding sama, tertuduh mengaku tidak bersalah atas dua lagi pertuduhan iaitu memandu kenderaan di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kecederaan kepada dua mangsa pada tarikh, masa dan lokasi yang sama.
Bagi pertuduhan pertama, dia sebagai pemandu sebuah kereta Honda Civic didakwa telah menyebabkan kecederaan kepada seorang pejalan kaki, Adam Arjuna Abdullah, 7.
Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, tertuduh sebagai pemandu Honda Civic didakwa di lokasi dan waktu telah memandu tanpa kecermatan serta perhatian sewajarnya menyebabkan kemalangan kepada Suresh Ayaroo, 50.
Mahkamah menetapkan 11 September depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat mangsa, laporan toksikologi tertuduh serta laporan perubatan yang berkaitan..- KOSMO! ONLINE
The post Pemandu ‘lalok’ didakwa sebabkan kematian dua remaja appeared first on Kosmo Digital.





