
IPOH – Operasi sebuah kuari di Keramat Pulai, Kampung Kepayang, Simpang Pulai dihentikan sementara selepas seorang pemandu lori maut apabila kenderaan dipandunya dihempap bongkah batu besar, Isnin lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A. Sivanesan berkata, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak turut mengeluarkan notis larangan serta arahan penambahbaikan susulan kejadian tersebut.
Katanya, arahan penutupan sementara itu berkuat kuasa sehingga pihak JKKP menerima laporan daripada jurutera untuk menilai keadaan dan menentukan tindakan selanjutnya.
“Kemalangan tersebut berlaku pada pukul 4.40 petang di mana siasatan mendapati, mangsa sedang menunggu untuk memasuki kawasan kuari apabila satu bongkah batu besar bergerak turun dari kawasan bukit lalu menghempap bahagian kepala lori yang dipandunya.
“Mangsa yang tersepit di dalam kabin lori itu kemudian disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 5.50 petang,” katanya ketika ditemui selepas meninjau lokasi kejadian itu, di sini hari ini.
Menurut Sivanesan, siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 17 dan 18 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan tindakan perundangan akan diambil sekiranya didapati berlaku pelanggaran undang-undang
“JKKP memandang serius setiap kemalangan yang melibatkan pekerja mahupun orang awam.
“Majikan bertanggungjawab mengenal pasti bahaya, menjalankan pentaksiran risiko serta melaksanakan langkah kawalan yang berkesan bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja sentiasa terpelihara,” katanya.
Dalam pada itu, Sivanesan berkata, kerja letupan di kawasan kuari berkenaan dilakukan pada hari yang sama sebelum kejadian, iaitu kira-kira pukul 1 petang.
Bagaimanapun katanya, tiada pergerakan batu dikesan ketika kerja berkenaan dilakukan sebelum bongkah batu terbabit tiba-tiba bergerak turun kira-kira tiga jam kemudian.
“JKKP sedang menjalankan siasatan dan pihak polis juga akan menjalankan siasatan bagi menentukan punca sebenar kejadian,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Pemandu lori maut dihempap batu, operasi kuari dihenti sementara appeared first on Kosmo Online.






