Maut dihempap batu kuari: JKKP arah henti sementara operasi

18 Sep 2026 • 3:14 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Maut dihempap batu kuari: JKKP arah henti sementara operasi
Sivanesan (kiri) ketika meninjau tapak kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai, lokasi insiden bongkah batu menghempap sebuah lori hingga mengorbankan pemandunya pada Isnin lalu.

IPOH - Operasi sebuah kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai diarah ditutup sementara susulan insiden bongkah batu yang menghempap sebuah lori hingga mengorbankan pemandunya pada Isnin lalu.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A Sivanesan berkata, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak telah mengeluarkan Notis Larangan serta mengarahkan penutupan sementara operasi kuari berkenaan bagi tujuan siasatan lanjut.

Menurutnya, tindakan itu diambil sementara menunggu laporan teknikal daripada pihak jurutera sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat.

"Operasi dihentikan buat sementara waktu dan kita akan rujuk semula selepas laporan jurutera diperoleh. Setakat ini, siasatan masih dijalankan oleh JKKP dan pihak polis," katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau keadaan lokasi kejadian di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Pengarah JKKP Perak, Mohd Hazlim Husain.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.40 petang itu, mangsa, M Sivakumar, 53, warga tempatan dilaporkan sedang menunggu untuk memasuki kawasan kuari sebelum sebuah bongkah batu besar dari kawasan bukit tiba-tiba menggelongsor dan menghempap kepala lori dipandunya.

Mangsa yang tersepit di dalam kabin lori disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Sivanesan berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku secara tiba-tiba tanpa sebarang tanda pergerakan batu yang jelas ketika mangsa berada di kawasan berkenaan.

Katanya, letupan kuari dipercayai berlaku lebih awal pada hari sama, namun tiada bukti mengaitkan aktiviti tersebut secara langsung dengan kejadian berkenaan.

"Siasatan juga mendapati syarikat kuari itu tidak mempunyai rekod kemalangan dilaporkan kepada JKKP sebelum ini dan telah beroperasi sejak tahun 1989 dengan pendaftaran sah," katanya.

Tambah beliau, siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 17 dan 18, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) dan tindakan perundangan akan diambil sekiranya berlaku pelanggaran.

Dalam pada itu, Sivanesan berkata, kerajaan negeri memandang serius insiden tersebut yang disifatkan sebagai antara kes jarang berlaku melibatkan kemalangan kuari di negeri ini.

"Sepanjang pengalaman saya, ini adalah antara beberapa kes serius membabitkan kuari dalam tempoh yang panjang dan kita tidak akan berkompromi soal keselamatan," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved