
SHAH ALAM – Pemandu lori yang khayal dadah dan tular memandu melawan arus sebelum merempuh 11 kenderaan hingga mencederakan empat individu di Persiaran Mokhtar Dahari di sini, didakwa di Mahkamah Majistret hari ini.
Tertuduh, C. Agilan, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mastura Khamis
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah memandu lori dalam keadaan positf dadah amphetamine dan methamphetamine yang menyebabkan dirinya tidak berdaya sehingga mengakibatkan kecederaan kepada empat pemandu Berusia 17 hingga 58 tahun.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Persiaran Mokhtar Dahari di sini kira-kira pukul 4.30 petang pada 9 Oktober lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda antara RM30,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding berasingan di hadapan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin, bapa kepada seorang anak itu turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine ke dalam badannya.
Kesalahan itu dilakukan di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam kira-kira pukul 11.30 malam pada 9 Oktober lalu.
Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000 dan pengawasan sehingga tiga tahun mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Alia Anisa Khairus Masnan dan Nur Amirah Zahari manakala tertuduh diwakili Peguam Rohan Singh.
Kedua-dua mahkamah membenarkan jaminan keseluruhan RM12,900 bersama seorang penjamin selain lesen digantung sehingga kes selesai.
Sebutan semula ditetapkan pada 22 September ini dan 11 Januari tahun depan.
Kosmo! sebelum ini melaporkan masalah brek ketika menuruni bukit menjadi punca sebuah lori melawan arus sehingga merempuh 11 buah kenderaan dalam kejadian di lampu isyarat simpang tiga Alam Budiman, Persiaran Mokhtar Dahari di sini.
Lebih mengejutkan, pemandu lori berusia 51 tahun itu didapati positif amphetamine dan methamphetamine selepas menjalani ujian saringan air kencing.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.20 petang itu, Jumaat lalu mengakibatkan empat individu berusia 17 hingga 58 tahun cedera, termasuk seorang lelaki yang parah di kepala. – KOSMO! ONLINE
The post Pemandu lori nafi khayal dadah, sebabkan empat cedera di Alam Budiman appeared first on Kosmo Online.





