Pemandu Lori Nahas Maut Karak Miliki 15 Rekod Saman

LocalCars
15 Jun 2026 • 2:59 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Pemandu Lori Nahas Maut Karak Miliki 15 Rekod Saman

KUALA LUMPUR  - Pemandu lori yang terlibat dalam nahas tragis di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak sehingga mengorbankan empat nyawa, termasuk seorang bayi berusia setahun, didapati mempunyai 15 rekod saman trafik, kata polis.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pemandu lori berusia 40 tahun itu turut diambil sampel darah untuk menjalani ujian toksikologi bagi membantu siasatan.

Menurutnya, siasatan terperinci sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar lori treler yang membawa muatan habuk bijih besi itu hilang kawalan sebelum terbalik.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau berbahaya,” katanya dalam satu kenyataan media.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang di Kilometer 43 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak menghala ke Bentong, treler berkenaan dipercayai hilang kawalan ketika melalui laluan menuruni bukit dan selekoh.

“Siasatan awal mendapati treler yang dipandu seorang lelaki tempatan itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Kuantan.

“Setibanya di lokasi kejadian yang merupakan jalan menuruni bukit dan berselekoh, lori tersebut hilang kawalan sebelum terbalik ke sebelah kiri jalan dan menghempap sebuah kereta Honda City yang berada di lorong kiri,” katanya.

Akibat rempuhan kuat itu, kesemua mangsa yang berada di dalam kereta berkenaan maut di lokasi kejadian.

“Pemandu kereta berusia 55 tahun bersama tiga lagi penumpang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah,” katanya.

Yahaya berkata, pemandu treler terbabit pula terselamat dan hanya mengalami kecederaan di bahagian kepala serta pinggul.

“Pemandu lori itu kini masih menerima rawatan lanjut di hospital dan berada di bawah pemantauan pihak perubatan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong menerima laporan berhubung kemalangan tersebut sebelum pasukan kecemasan digerakkan ke lokasi, bagi menjalankan operasi menyelamat dan pengurusan mangsa.

Siasatan lanjut berhubung insiden itu masih diteruskan. - Getaran, 15 Jun 2026